Anak Risau Bapa Hilang Lebih 2 Minggu, Kereta Pula Ditemui Dalam Keadaan Hangus Terbakar

LocalPolitics
22 Sep 2024 • 10:38 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Kehilangan seorang warga emas sejak lebih dua minggu lalu telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarganya, lapor Sinar Harian.

Sabari Baharom, warga emas berusia 62 tahun itu dipercayai dibawa lari oleh individu yang tidak dikenali.

Ahli keluarga Sabari percaya dia dibawa lari kerana mereka telah mengenal pasti bahawa pada 4 dan 5 September lalu, sejumlah wang yang agak banyak dari akaun bank mangsa telah dipindahkan ke akaun bank seseorang yang tidak dikenali.

Difahamkan juga, rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang diteliti oleh pihak polis pula mendedahkan bahawa kelihatan seorang wanita tempatan yang telah melakukan transaksi pemindahan wang terbabit.

Menurut anak mangsa, mereka sekeluarga percaya bahawa ayahnya bukan bawa diri atau merajuk kerana mereka sekeluarga tidak mempunyai sebarang masalah dengan bapa mereka itu.

Lebih mengejutkan apabila kereta Proton Waja milik warga emas yang hilang itu ditemui di tempat pembuangan sampah di Pulau Belantik, Sik dalam keadaan hangus terbakar.

image is not available

Namun, pihak polis telah mengesahkan bahawa Sabari tidak ada di dalam kereta tersebut.

Oleh itu, keluarga warga emas ini percaya bahawa Sabari dilarikan oleh seseorang.

Berita kehilangan warga emas ini telah dikongsikan juga oleh anaknya menerusi Instagram syilla_syilla.

image is not available
Perkongsian di instagram anak mangsa

Untuk makluman semua, sebelum hilang, Sabari yang merupakan seorang pesara dipercayai telah keluar untuk berjumpa rakan menaiki kereta Proton Waja itu pada malam 3 September lalu.

Namun, difahamkan, warga emas itu tidak dapat dihubungi pada keesokan harinya.

Orang awam yang mempunyai maklumat tentang kes kehilangan warga emas ini, sila hubungi pihak polis dengan kadar segera.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.