‘Anak saya ada sindrom tangisan kucing’

LocalFamily & Parenting
23 Nov 2026 • 8:46 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Anak saya ada sindrom tangisan kucing’

BACHOK – Seorang wanita yang menghidap penyakit jantung tetap cekal membesarkan dua anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) di Kampung Wakaf Aik, Tawang di sini.

Wan Noor Maziah Wan Abdullah, 49, berkata, anak perta­manya, Hafizul Rahman Mazlan, 21, menghidap penyakit jarang di­temui iaitu sindrom Cri Du Chat atau sindrom tangisan ­kucing, manakala adiknya, Nur Qaseh Ummairah, 13, mengalami masalah genetik akibat keabnormalan kromosom sejak lahir.

Menurutnya, sindrom tangisan kucing yang dialami anak sulungnya merupakan kes terpencil yang berlaku kepada seorang daripada 20,000 hingga 50,000 kelahiran bayi di dunia.

Katanya, dia dan suami, Maz­lan­ Ab. Rahman, 60, perlu menanggung kos perbelanjaan yang tinggi bagi menguruskan keperluan harian kedua-dua anak mereka.

“Kadangkala saya kehabisan wang kerana hanya bergantung kepada pendapatan suami yang bekerja di kedai pemprosesan ayam dengan gaji sebanyak RM40 sehari.

“Sekarang saya tidak mampu membeli lampin pakai buang, bijirin dan susu kerana penggunaannya semakin bertambah. Se­tiap bulan saya perlu membelanjakan lebih RM2,000,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Terdahulu, Pengerusi Persatuan Generasi Sejahtera (i-Sejahtera) Malaysia, Datuk Mohammad Hamizan Amzah hadir menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas dan wang tunai bagi meringankan beban keluarga itu.

Wan Noor Maziah berkata, dia terpaksa berhutang dengan adik-beradik atau ahli keluarga terdekat apabila kehabisan wang untuk membeli keperluan anak-anaknya.

“Walaupun berdepan masalah kesihatan, saya perlu menguruskan anak secara bersendirian apabila suami bekerja.

“Boleh dikatakan saya menjaga mereka 24 jam sehari.

“Saya juga perlu memberi perhatian lebih kepada Nur Qaseh Ummairah kerana dia agak agresif walaupun pergerakannya hanya mampu mengesot,” ujarnya.

Selain masalah jantung, Wan Noor Maziah turut mengalami masalah slip disc akibat kerap mengangkat kedua-dua anaknya yang masing-masing seberat 20 dan 50 kilogram setiap hari.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Wan Noor Maziah di talian 016-4895948 atau menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional 0300 3410 0013 4905. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Anak saya ada sindrom tangisan kucing’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved