
KUALA TERENGGANU: Ibu enam anak nekad menjual sarapan dengan menolak kereta sorong dari rumah ke rumah di sekitar Kampung Duyong Kecil, di sini, sejak 17 tahun lalu.
Rutin itu menjadi sebahagian daripada kehidupan Liza Malik, 49, bagi menyara keluarga termasuk enam anaknya selepas suaminya menghidap penyakit saraf.
Katanya, dia akan berjalan kaki berjalan kaki di lorong-lorong kecil sambil menolak kereta berisi aneka makanan sejauh kira-kira 1.5 kilometer mengelilingi kampung berkenaan bagi mencari pelanggan.
“Sebelum ini ada peniaga lain menjual sarapan menggunakan kereta tolak. Apabila dia meninggal dunia, saya pula yang teruskannya selepas melihat peluang untuk mencari rezeki, tambahan pula anak-anak masih
kecil ketika itu.
“Setiap pagi saya akan menolak kereta masuk ke kampung dan menjual makanan dari rumah ke rumah. Biasanya saya singgah sekitar tujuh hingga lapan rumah sehingga selesai kira-kira pukul 10 pagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, dia turut menjual makanan di gerai berhampiran Masjid Duyong Kecil, sebelum membawa jualan masuk ke kawasan kampung bagi memudahkan penduduk mendapatkan sarapan tanpa perlu keluar jauh.
Antara makanan yang dijual termasuk kuih-muih, nasi lemak, nasi minyak dan bihun goreng yang diperoleh daripada penduduk setempat.
Katanya, kebanyakan makanan itu disediakan oleh penduduk yang menghantar jualan kepadanya untuk dipasarkan, sekali gus membantu menjana pendapatan bersama.
Walaupun pekerjaan itu memerlukan tenaga dan kesabaran, Liza tetap meneruskan rutin berkenaan demi mencari rezeki, selain memastikan penduduk kampung dapat menikmati pelbagai pilihan makanan pagi yang dibawa terus ke depan rumah mereka. – UTUSAN
The post Jual makanan guna kereta sorong sara keluarga appeared first on Utusan Malaysia.




![[INFOGRAFIK] Tahanan rumah: Najib dibenarkan tinggal bersama keluarga](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2026/11/12/3707917.webp)
