‘Anak saya ditumbuk, kepala ditekan pada tangga’

10 Aug 2026 • 4:01 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Anak saya ditumbuk, kepala ditekan pada tangga’

ALOR SETAR – Sepasang suami isteri kesal apabila anak lelaki mereka yang berusia sembilan tahun didakwa menjadi mangsa buli pelajar senior berusia 15 tahun sehingga lebam pada muka dan beberapa bahagian badan.

Bapa mangsa, Shamsul Azrin Man, 45, berkata, kejadian itu hanya diketahui selepas dia mengambil anak tunggalnya pulang bercuti dari sebuah maahad tahfiz di sini pada 30 Julai lalu.

Katanya, anaknya tinggal di asrama maahad tahfiz itu sejak awal tahun ini dan akan bercuti seminggu, dua bulan sekali.

“Saya dan isteri ternampak lebam pada bahagian kiri muka dan pada awalnya anak mengaku terjatuh tetapi selepas ditanya berkali-kali, anak mengaku dia ditumbuk pelajar senior sehari sebelum itu ketika mengelap meja makan di kantin.

“Anak juga beritahu dia ditendang di bahagian belakang sehingga lebam. Sebaik mengetahui kejadian itu, saya terus menghubungi seorang ustaz di maahad itu, namun ustaz terbabit memaklumkan dia tidak mengetahui tentang kejadian itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, dia dan isteri terus membuat laporan polis pada hari sama sebelum membawa anaknya mendapatkan pemeriksaan di hospital.

“Pemeriksaan mendapati anak saya mengalami lebam, namun tiada kecederaan serius seperti patah tulang. Cuma, anak saya kini trauma dan tidak mahu lagi bersekolah di maahad tahfiz tersebut.

“Saya sedih sebab anak saya sendiri yang minta belajar di maahad tahfiz kerana mahu menjadi ustaz. Tidak sangka akan jadi macam itu dan saya bersyukur dia masih bersemangat untuk menjadi seorang ustaz,” ujarnya yang akan menukar anaknya ke sekolah agama lain.

Dakwanya, sebelum ini dia pernah melihat lebam pada badan serta benjol pada kepala anaknya itu, namun tidak menyangka dia dibuli kerana anaknya hanya beritahu ia disebabkan terjatuh.

“Selepas ditanya, anak beritahu bahawa dia pernah ditumbuk, disepak dan kepalanya ditekan pada tangga oleh pelajar terbabit. Dia tidak melawan kerana takut dan dia juga beritahu, ada rakan yang bantu tuamkan dahinya yang benjol,” dakwanya.

Image from: ‘Anak saya ditumbuk, kepala ditekan pada tangga’
SHAMSUL Azrin menunjukkan bahagian muka anaknya yang lebam didakwa akibat dipukul pelajar senior di sebuah maahad tahfiz di Alor Setar.

Katanya, dia dan isteri turut kesal kerana anak mereka kini tidak lagi bersekolah selepas pihak sekolah didakwa memberhentikan anaknya susulan kejadian itu dengan memberi alasan tidak mahu perkara sama berulang.

“Kita difahamkan, polis menyiasat perkara ini dan pelaku telah dipanggil untuk siasatan. Pihak sekolah juga telah mengambil tindakan menggantung sekolah ke atas pelaku,” ujarnya.

Tambahnya, dia berharap kejadian tersebut menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya keselamatan dan kebajikan pelajar sentiasa diberi perhatian.

“Saya tidak mahu perkara ini berlaku kepada anak-anak lain. Cukuplah anak saya melalui pengalaman ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan pihaknya telah merekodkan keterangan pelaku.

“Kes ini kami cuma menunggu laporan perubatan mangsa daripada doktor,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Anak saya ditumbuk, kepala ditekan pada tangga’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved