Budak 9 tahun lebam dakwa ditumbuk, dibuli pelajar senior

LocalFamily & Parenting
10 Aug 2026 • 5:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Budak 9 tahun lebam dakwa ditumbuk, dibuli pelajar senior
Kesan lebam pada bahagian mata sebelah kiri kanak-kanak berusia sembilan tahun selepas menjadi mangsa buli pelajar senior berusia 15 tahun di sekolahnya sehingga mengalami lebam di beberapa bahagian badan dan muka. Foto Bernama
Image from: Budak 9 tahun lebam dakwa ditumbuk, dibuli pelajar senior
Syamsul Azrin menunjukkan kesan lebam pada bahagian muka anak lelakinya yang berusia sembilan tahun menjadi mangsa buli pelajar senior berusia 15 tahun di sekolahnya. Foto Bernama

ALOR SETAR - Sepasang suami isteri mendakwa anak lelaki mereka yang berusia sembilan tahun menjadi mangsa buli pelajar senior berumur 15 tahun di sekolahnya sehingga mengalami lebam di beberapa bahagian badan dan muka.

Bapa mangsa, Syamsul Azrin Man, 45, berkata, dia hanya mengetahui kejadian yang menimpa anak tunggalnya itu ketika mengambilnya untuk pulang bercuti dari sebuah asrama maahad tahfiz di sini pada 30 Julai lepas.

"Saya ambil anak pulang untuk bercuti selama seminggu. Pada masa itu tidak nampak lagi kesan lebam pada muka dia. Kemudian, apabila dah perasan, saya tanya dan katanya terjatuh, tetapi selepas didesak, dia mengaku ditumbuk pelajar senior sehari sebelum itu ketika sedang mengelap meja makan di kantin.

"Anak juga maklumkan bahawa dia ditendang di bahagian belakang badan sehingga lebam. Saya terus menghubungi seorang ustaz di maahad tahfiz berkenaan, namun ustaz itu maklumkan bahawa dia tidak tahu mengenai kejadian itu,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Syamsul Azrin dan isteri kemudian terus membuat laporan polis pada hari yang sama, sebelum membawa anak mereka ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk pemeriksaan lanjut.

**media[3611105]**

"Hasil pemeriksaan mendapati anak saya hanya mengalami lebam, tetapi yang menyedihkan ialah anak berada dalam keadaan trauma dan tidak mahu ke sekolah kerana takut dengan pelajar senior yang membulinya.

"Sebelum ini, memang saya ada nampak kesan lebam pada badan dan benjol di kepalanya, tetapi anak beritahu dia terjatuh. Jadi, saya dan isteri hanya biarkan sahaja, tetapi selepas itu baru dia maklumkan bahawa dia pernah ditumbuk, disepak dan kepalanya ditekan di tangga oleh pelajar senior yang sama,” katanya.

Syamsul Azrin berkata, dia dan isterinya juga tidak berpuas hati dengan keputusan pihak sekolah yang memberhentikan anaknya susulan kejadian itu, manakala pelajar senior itu hanya digantung sekolah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan pihaknya telah merakam keterangan daripada pelajar senior terbabit.

"Kami sedang menunggu laporan perubatan mangsa daripada doktor sebelum sebarang tindakan susulan diambil,” katanya. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved