IPOH – “Saya sempat tengok keadaan dia, masih memakai baju PJ (pendidikan jasmani), pakaian sama sepertimana saya hantar ke sekolah tadi.”
Demikian luahan pilu seorang ibu selepas anak perempuannya berusia 14 tahun ditemui maut bersama rakan baiknya berhampiran sebuah bangunan perumahan kosong di Flat Sungai Pari, Buntong di sini pada Jumaat.
Ibu mangsa yang mahu dikenali sebagai Seela, 36, berkata, dia menghantar anaknya bersama rakannya ke sekolah dari kediaman mereka di Menglembu kira-kira jam 1 petang.
**media[3593957]**
ARTIKEL BERKAITAN: Dua pelajar perempuan ditemukan maut
Tiada penglibatan pihak lain, mangsa sukarela tinggalkan kawasan sekolah - Polis
'Anak saya masih pakai baju PJ sama seperti hantar ke sekolah' - Ibu pelajar maut
Namun sekitar jam 4.50 petang, katanya, dia menerima satu panggilan memaklumkan anaknya berada di kawasan perumahan kosong berkenaan.
"Saya tidak tahu kenapa anak saya boleh berada di sini. Sedangkan sebelum ini dia tidak pernah pun datang ke tempat begini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
**media[3593958]**
Menurut Seela, anak kedua daripada tiga beradik itu tidak pernah menunjukkan sebarang perubahan sikap atau mengadu menghadapi masalah di sekolah.
"Anak saya memang pendiam sedikit tetapi sepanjang pengetahuan saya, semua hal sekolah dan pelajaran dia dalam keadaan baik.
"Selama ini, pergi dan balik sekolah, saya yang hantar dan jemput setiap hari. Tak sangka perkara begini boleh berlaku terhadap anak saya," katanya.
Dalam kejadian itu, dua pelajar perempuan berusia 14 tahun yang merupakan rakan baik ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat atas bangunan perumahan kosong tersebut.
Kejadian disedari seorang pengawal keselamatan yang sedang melakukan rondaan sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa.
Difahamkan, kedua-dua mangsa bersekolah di sekolah yang sama di Ipoh dan mengikuti sesi pembelajaran pada sebelah petang.
**media[3593959]**
Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk proses bedah siasat selepas pasukan forensik selesai menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
Flat Sungai Pari yang dikenali sebagai 'Sungai Pari Tower' atau 'Tingkat 15' pernah menjadi bangunan tertinggi di Malaya Utara dan mercu tanda bandar Ipoh menerusi reka bentuk bumbungnya yang berbentuk mangkuk.
Projek perumahan awam yang dibina pada 1963 itu bagaimanapun dikosongkan secara berperingkat sejak 2012 berikutan kebimbangan terhadap struktur bangunan.






