'Anak saya masih terkejut'

20 Jan 2023 • 2:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Iftikhar patah tangan kanan dipercayai terkena kabel elektrik dalam kejadian pokok tumbang di Kampung Balok Baru pada petang Khamis.

image is not available
Zamarul Nizar (kiri) menunjukkan tangan kanan anaknya yang patah ketika ditemui di rumahnya di Taman Balok Baru pada Jumaat.

image is not available
Kerja-kerja penebangan pokok di kawasan permainan di Kampung Balok Baru telah dilakukan oleh pihak berwajib ketika tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian pada Jumaat.

KUANTAN - Kanak-kanak berusia enam tahun yang turut menjadi mangsa pokok besar tumbang susulan angin kencang di Kampung Balok Baru pada Khamis masih dalam keadaan terkejut.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Iftikhar Medina Zamarul Nizar patah tangan kanan selain dikatakan turut terkena kabel elektrik.

Bapanya, Zamarul Nizar Zailani, 26, berkata, anaknya bongsunya akan menangis sekiranya terpandang lokasi kejadian.

"Anak saya masih takut. Ini kali pertama kejadian seumpama itu berlaku kepada dirinya.

"Bila terpandang laluan ke taman permainan itu dia akan menangis," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Balok Baru pada Jumaat.

Dalam kejadian itu, seorang remaja, Aliya Zahra Mohamad Hasnizam, 14, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) akibat kecederaan di kepala selepas dihempap pokok tumbang.

Mengulas lanjut, Zamarul Nizar yang bekerja sebagai penghantar makanan mengakui terkejut dan cemas selepas mendapat tahu anaknya cedera.

Katanya, sebelum kejadian anaknya itu sudah pulang ke rumah, namun dia keluar semula selepas itu.

"Jadi, saya terkejut apabila jiran datang mendukungnya dalam keadaan cedera. Saya ingat dia berada di rumah.

"Apabila diperiksa tangan kanannya tidak boleh bergerak akibat terkena kabel elektrik," ujarnya yang terus membawa anaknya ke HTAA untuk mendapatkan rawatan.