
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Menggalas tanggungjawab sebagai ibu bapa bukanlah sesuatu yang mudah, ada sahaja karenah anak-anak yang harus dihadapi dengan penuh kesabaran.
Antara cabaran yang harus dihadapi adalah semasa mengejutkan anak-anak untuk bangun di awal pagi bagi bersiap ke sekolah atau mengerjakan solat subuh.
Boleh naik darah dan stres dibuatnya kalau setiap hari perlu kejutkan anak dua tiga kali bukan?
10 cara latih anak bangun awal pagi dengan sendiri
Susulan itu, laman Pendidik2u di Facebook ada berkongsi 10 cara yang boleh membantu melatih anak supaya bangun awal pagi.
Berikut 10 pendekatan yang boleh dilakukan ibu bapa:
1. Tetapkan rutin tidur: Pastikan anak tidur pada waktu yang sama setiap malam, termasuk pada hari cuti. Waktu tidur yang konsisten membantu tubuh menyesuaikan diri dengan pola tidur yang tetap.
2. Kurangkan gajet sebelum tidur: Elakkan penggunaan gajet seperti telefon bimbit atau tablet sekurang-kurangnya satu jam sebelum tidur. Cahaya biru dari skrin boleh mengganggu pengeluaran hormon melatonin yang penting untuk tidur.
3. Cipta suasana tidur yang nyaman: Pastikan bilik tidur anak nyaman, gelap, dan tenang. Suhu bilik yang sesuai dan tilam yang selesa boleh membantu anak tidur lebih nyenyak.
4. Beri contoh yang baik: Tunjukkan teladan dengan bangun awal setiap hari, termasuk untuk solat Subuh. Anak-anak sering meniru tingkah laku ibu bapa mereka.
5. Beri penghargaan: Beri pujian atau ganjaran kecil apabila anak berjaya bangun awal. Ini boleh memberikan motivasi kepada mereka untuk terus melakukannya.
6. Bacaan doa dan zikir sebelum tidur: Amalkan membaca doa dan zikir sebelum tidur. Selain menenangkan hati, amalan ini juga boleh memudahkan anak bangun untuk solat Subuh.
7. Ajarkan kepentingan solat subuh: Terangkan kepada anak tentang pentingnya solat Subuh dan manfaat bangun awal pagi. Pengajaran ini boleh diberikan melalui cerita atau kisah-kisah teladan.
8. Gunakan jam penggera: Bantu anak dengan menggunakan jam penggera. Pilih bunyi yang tidak terlalu kuat tetapi cukup untuk mengejutkan mereka.
9. Bangunkan anak dengan lembut: Apabila membangunkan anak, lakukan dengan lembut dan penuh kasih sayang. Elakkan mengejutkan mereka dengan cara yang kasar.
10. Latihan secara bertahap: Mulakan dengan bangun 15 minit lebih awal dari biasa dan secara beransur-ansur laraskan waktu bangun sehingga mencapai waktu yang diinginkan.
Kalau dari kecil kita latih anak-anak secara konsisten dan penuh kesabaran, lama kelamaan mereka akan terbiasa bangun awal pagi dengan sendirinya tanpa perlu dikejut.
Baca Artikel Berkaitan: Anak Sukar Tidur Malam? Ini Tips Untuk Ibu Bapa Bantu Si Kecil Tidur Lebih Awal
Baca Artikel Berkaitan: Anak Cepat Bosan? Ini 7 Tips Komunikasi Dengan Kanak-Kanak Yang Paling Berkesan


