Sedang Ikhtiar Hamil? Ini Tips Kesuburan Yang Perlu Diketahui Para Lelaki

Health & FitnessFamily & Parenting
18 Jul 2025 • 10:14 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Setiap pasangan yang sudah berkahwin pastinya ingin menimang cahaya mata. Ini kerana, anak sering diibaratkan sebagai pengikat kasih sayang.

Namun tidak semua mempunyai rezeki awal atau di waktu yang diinginkan apabila ingin memiliki cahaya mata.

Ada segelintir yang masih belum berjaya mendapatkan zuriat mungkin disebabkan faktor tertentu seperti kesihatan dan juga kesuburan.

Ini kerana kesuburan suami dan isteri memainkan peranan yang sangat penting dalam berusaha untuk mendapatkan cahaya mata.

Ini tips kesuburan untuk para lelaki

Selain wanita, sebenarnya lelaki juga perlu mengetahui tahap kesuburan mereka dan membuat pemeriksaan lanjut untuk mengetahuinya secara terperinci.

Namun dalam pada masa yang sama terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh para lelaki dalam menjaga kesuburan mereka seperti yang disarankan oleh Public Health Malaysia (PHM).

Sperma ada ‘tarikh luput’

Menurutnya tips yang diberikan itu adalah khas buat hubungan suami isteri yang sah. Jelasnya ramai lelaki yang tidak sedar sperma mereka juga mempunyai ‘tarikh luput’.

“Kajian meta-analisis oleh Lo Giudice et al. mendapati terlalu lama tidak ejakulasi boleh tingkatkan kerosakan DNA Sperma (DNA fragementation).

“Bila sperma disimpan terlalu lama, ia terdedah kepada radikal bebas dan suhu panas dalam badan menyebabkan kualitinya menurun,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya lagi kesan daripada perkara itu akan menyebabkan pasangan yang sedang ikhtiar untuk hamil sukar untuk mendapatkan zuriat, risiko embrio tidak berkembang atau mengalami keguguran di peringkat awal.

Antara perkara yang boleh dilakukan untuk meningkatkan kesuburan lelaki adalah:

#1 Elak memakai seluar terlalu ketat

image is not available
Foto: Pexels

Menurut laman sesawang Subang Jaya Medical Centre, pemakaian ketat seperti seluar dalam atau seluar yang terlalu ‘melekat’ sememangnya boleh memberikan kesan kepada kesuburan lelaki khususnya jika ia dipakai sepanjang masa.

Ini kerana ia boleh menyebabkan peningkatan suhu testis. Untuk makluman testis berfungsi dengan baik pada suhu yang lebih rendah dari suhu badan.

Suhu yang lebih tinggi akan menyebabkan gangguan pada spermatogenesis serta menurunkan kualiti sperma lelaki.

Secara ringkasnya spermatogenesis adalah proses pembentukkan sel sperma di dalam testis.

#2 Elak letak laptop atas peha

image is not available
Foto: Pexels

Umum mengetahui laptop yang sedang aktif digunakan turut mengeluarkan haba dan tindakan meletakkan laptop di atas peha mungkin akan memberikan kesan panas pada bahagian kelamin.

Perkara ini sama seperti lelaki dilarang untuk kerap melakukan aktiviti seperti sauna yang boleh mengganggu kesuburan lelaki dan boleh memberi kesan kepada proses penghasilan sperma.

Memetik laporan PubMed Central, meletakkan laptop di atas peha boleh menyebabkan suhu pada skrotum meningkat.

Selain itu persekitaran yang panas juga mempengaruhi kuantiti dan kualiti sperma.

#3 ‘Kurangkan’ radiasi

image is not available
Foto: Pexels

Mungkin ramai yang tidak tahu atau kurang cakna radiasi juga boleh menjadi punca kepada masalah kesuburan lelaki.

Menurut Harian Metro yang memetik Perunding Sakit Puan Fellowship dalam Teknologi Bantuan Reproduktif, Dr Lindy Bak Li Mei pendedahan elektromagnet radiasi dari telefon bimbit yang sering diletakkan dalam poket seluar juga beri kesan kepada kesuburan lelaki.

Ini kerana terdapat kajian mendapati sperma yang dihasilkan mempunyai kualiti rendah.

#4 Elak rokok dan vape

image is not available
Foto: Pexels

Umum mengetahui rokok dan vape merupakan aktiviti yang sangat tidak sihat untuk kesihatan.

Malah ia bukan sahaja boleh memberi kesan kepada sistem badan seperti paru-paru, jantung, dan boleh mengakibatkan kanser disebabkan bahan toksik dan kimia yang ada di dalamnya.

Bahkan rokok dan vape juga boleh memberi gangguan kepada kesuburan lelaki dari segi kualiti sperma, hormon seksual dan fungsi testis.

Lagi pun korang mesti nak kesihatan badan yang sihat kan, jadi berhenti jelah daripada hisap rokok dan vape tu. Sekarang kita fokus untuk kehidupan yang lebih baik.

#5 Aktif bersukan, kurangkan stres

image is not available
Foto: Pexels

Senaman bukan sahaja dapat meningkatkan tahap kesihatan seperti membakar lemak, tetapi ia juga bagus dalam meningkatkan tahap hormon testosteron dalam badan.

Tahap testosteron yang tinggi di dalam badan boleh membantu menghasilkan kualiti sperma yang lebih tinggi berbanding lelaki yang tidak bersenam, lapor Hello Doktor.

Walau bagaimanapun, korang juga perlu mengawal tahap stres kerana ia boleh mengurangkan kepuasan seksual dan mengurangkan kesuburan.

Menurut Hello Doktor, kajian mendakwa ia disebabkan hormon kortisol. Kerana stres yang berpanjangan boleh memberikan kesan negatif kepada hormon testosteron di mana apabila kortisol meningkat ia akan menyebabkan testosteron menurun.

Antara cara untuk korang kurangkan tekanan adalah luangkan masa bersama pasangan seperti bercuti, luangkan masa untuk diri sendiri atau berjumpa rakan, keluarga, solat, bersenam dan banyak lagi.

Source: