Anak syarikat HHRG salur pinjaman RM44 juta, kekalkan nisbah pinjaman bermasalah 3.44%

LocalBusiness & Finance
9 Jul 2026 • 4:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Anak syarikat HHRG salur pinjaman RM44 juta, kekalkan nisbah pinjaman bermasalah 3.44% Image from: Anak syarikat HHRG salur pinjaman RM44 juta, kekalkan nisbah pinjaman bermasalah 3.44% amree09/07/2026 - 16:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Julai – Anak syarikat milik penuh HHRG Berhad, ORIC Capital Sdn Bhd, mencatatkan jumlah pinjaman dan pendahuluan tertunggak mencecah sebanyak RM43.55 juta setakat 30 Jun 2026.

 

Kumpulan tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, nisbah pinjaman bermasalah bersih (NPL) kekal rendah pada 3.44%, mencerminkan kualiti portfolio pinjaman yang masih terkawal.

 

Kenyataan itu dibuat selaras Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad bagi syarikat pemberi pinjam wang menjalankan aktiviti pembiayaan sebagai urusan perniagaan biasa.

 

"Berdasarkan daripada jumlah pinjaman yang tertunggak sebanyak RM43.55 juta itu, RM31.71 juta merupakan pinjaman bercagar manakala baki RM11.84 juta adalah pinjaman tanpa cagaran," jelas HHRG.

 

Kata kumpulan berkenaan, pinjaman kepada pelanggan korporat mencecah jumlah sebanyak RM18.7 juta, terdiri daripada kira-kira RM16.7 juta pinjaman bercagar dan RM2 juta pinjaman tanpa cagaran.

 

Sementara itu, pinjaman kepada individu pula dicatatkan berjumlah RM24.85 juta, dengan sebanyak RM15.01 juta merupakan pinjaman jenis bercagar dan RM9.84 juta lagi ialah pinjaman tanpa cagaran.

 

HHRG_DagangNews2026

 

HHRG turut memaklumkan yang ORIC Capital tidak mempunyai sebarang pinjaman atau pendahuluan kepada syarikat dalam kumpulan berkenaan sendiri atau pun pihak yang berkaitan setakat data 30 Jun 2026.

 

"Dari segi pembiayaan, jumlah keseluruhan yang diterima ialah RM30.32 juta, terdiri RM27.78 juta pinjaman daripada syarikat dalam kumpulan dan RM2.53 juta pembiayaan dijamin syarikat," katanya.

 

Bagi prestasi pinjaman bermasalah, jumlah pinjaman ingkar bersih dikurangkan kepada RM1.5 juta berbanding RM2.02 juta pada awal tahun kewangan tanpa ada pinjaman baharu dirujuk sebagai ingkar.

 

Menurut HHRG, nisbah NPL sebanyak 3.44% menunjukkan tahap risiko kredit berada pada paras yang terkawal walaupun syarikat berkenaan terus mengembangkan aktiviti pemberian pinjaman berlesen.

 

Makluman itu turut mendedahkan lima pinjaman terbesar ORIC Capital melibatkan kemudahan kredit pusingan (RC) dan pinjaman berjangka (TL) dengan baki tertunggak RM3.3 juta hingga RM5.05 juta.

 

"Kebanyakan isu disokong cagaran tanah kosong, kenderaan bermotor dan jaminan bersama, dengan sebahagian pinjaman melibatkan pihak yang diklasifikasikan transaksi pihak berkaitan," katanya.

 

Ia dikecualikan mengikut Peraturan 11.08(11)(o) Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE Bursa Malaysia, manakala selebihnya diberikan kepada pihak yang tiada kaitan dengan syarikat. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved