NPE cipta sejarah terbit sukuk kelestarian pertama di dunia biayai projek lebuh raya NPE2

LocalBusiness & Finance
9 Jul 2026 • 10:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

NPE cipta sejarah terbit sukuk kelestarian pertama di dunia biayai projek lebuh raya NPE2 Image from: NPE cipta sejarah terbit sukuk kelestarian pertama di dunia biayai projek lebuh raya NPE2 amree09/07/2026 - 10:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Julai – New Pantai Expressway Sdn Bhd (NPE), anak syarikat IJM Corporation Berhad, melakar sejarah menerbitkan sukuk berkaitan kelestarian (SLS) pertama di dunia bagi projek lebuh raya.

 

Terbitan sulung berjumlah RM54 juta itu dilaksanakan di bawah Program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN), meletakkan penanda aras baharu pembiayaan infrastruktur mampan dan kewangan Islam global.

 

Menurutnya, sukuk berkenaan tiada penarafan sehingga RM1.42 bilion, dengan hasil terbitan akan digunakan syarikat itu bagi membiayai pembinaan Projek Sambungan Lebuhraya Pantai Baharu (NPE2).

 

"Struktur pembiayaan menghubungkan prestasi kelestarian secara langsung yang boleh diukur," jelas kenyataan bersama NPE, IJM, Maybank Investment Bank Berhad dan CIMB Investment Bank Berhad.

 

Pendekatan itu mencerminkan komitmen piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke dalam pembangunan aset infrastruktur, selain mengukuhkan kedudukan Malaysia menerajui kewangan Islam.

 

Projek NPE2 melibatkan pembinaan lebuh raya sepanjang 15.8 kilometer termasuk laluan susur, yang menghubungkan Plaza Tol Pantai Dalam dengan Persimpangan Jalan Istana melalui Jalan Syed Putra.

 

NPE_Bernama
Foto BERNAMA

 

Apabila siap menjelang akhir 2029, projek itu meningkatkan kesalinghubungan antara NPE, Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Laluan Istana-Kiara (LIKE), serta memperbaiki aliran trafik pusat bandar.

 

"Pembinaan dilaksanakan oleh IJM Construction Sdn Bhd dan projek berjalan mengikut jadual tanpa pengambilan tanah secara besar-besaran kerana menggunakan jajaran lebuh raya bertingkat," jelasnya.

 

Sukuk itu turut mengguna pakai struktur pembiayaan berasaskan prestasi disandarkan kepada kadar kekerapan kecederaan menyebabkan kehilangan waktu bekerja serta pensijilan infrastruktur hijau.

 

Struktur pembiayaan itu juga selari Sustainability-Linked Bond Principles (SLBP) oleh International Capital Market Association (ICMA), yang meningkatkan ketelusan dengan piawaian pembiayaan global.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJM, Datuk Lee Chun Fai berkata, SLS itu membuktikan komitmen syarikat menjadikan keselamatan pekerja dan prestasi kelestarian sebagai elemen teras projek.

 

Selain itu, ia menjadi penanda aras baharu pembiayaan infrastruktur mampan mencerminkan permintaan pelabur terhadap instrumen kewangan berteraskan prinsip Syariah dan kelestarian. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved