Anak tak jadi calon, ugut keluar parti? Asyraf Wajdi dedah mesej Puad Zarkashi

LocalPolitics
25 Jun 2026 • 11:22 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa keputusan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi meninggalkan UMNO bukan berpunca daripada dakwaan campur tangan Istana dalam urusan parti, sebaliknya berkait dengan isu pemilihan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit.

Hormati hak keluar parti

Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung UMNO itu apabila menyatakan beliau tetap menghormati keputusan Puad untuk keluar parti kerana ia merupakan hak yang dijamin dalam sistem demokrasi, namun meluahkan rasa kecewa terhadap alasan yang diberikan oleh bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu.

Menurut Asyraf, Puad didakwa pernah menulis kepadanya dan mengugut untuk meninggalkan parti serta mengkritik UMNO sekiranya kepimpinan tertinggi tidak mempertimbangkan anaknya sebagai calon di DUN Rengit.

“Saya berasa dukacita dengan pengumuman sahabat saya Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mengumumkan untuk keluar dari UMNO serta merta hari ini.
“Ya, itu merupakan hak demokrasi beliau yang dipertahankan oleh Perlembagaan. Saya hanya mampu mengucapkan selamat maju jaya dan mendoakan segala kebaikan dilimpahkan atas jasa yang disumbangkan kepada parti selama ini,” ujarnya.

Tindakan kaitkan istana satu kenyataan berasas

Beliau turut menyifatkan dakwaan mengaitkan Istana dengan pembubaran Dewan Negeri Johor sebagai satu kenyataan yang tidak berasas.

“Namun, saya amat kesal dengan kenyataan berbaur fitnah beliau yang memberikan alasan utama keluar parti dengan mengaitkan kononnya kerana Istana mengawal UMNO Johor sehingga menitahkan pembubaran DUN Johor pada 1 Jun lalu,” katanya.

Image from: Anak tak jadi calon, ugut keluar parti? Asyraf Wajdi dedah mesej Puad Zarkashi

Asyraf menambah walaupun anak Puad mempunyai potensi sebagai pemimpin muda, pemilihan calon perlu dibuat berdasarkan pelbagai pertimbangan dan bukan kerana hubungan kekeluargaan.

“Sedangkan beliau sendiri menulis kepada saya secara panjang lebar mengugut untuk keluar parti dan akan menghentam parti sekiranya Kepimpinan Tertinggi UMNO tidak mempertimbangkan untuk ANAK BELIAU sebagai CALON di DUN RENGIT,” katanya.

Image from: Anak tak jadi calon, ugut keluar parti? Asyraf Wajdi dedah mesej Puad Zarkashi

Tambah beliau, UMNO bukan sebuah parti yang mengamalkan politik warisan keluarga dan tidak seharusnya tunduk kepada tekanan mana-mana individu.

“Cukup-cukuplah UMNO ini diugut sedemikian rupa. UMNO bukan parti warisan anak-beranak yang mesti mengutamakan keluarga dan suku-sakat untuk menjadi pemimpin,” katanya.

Image from: Anak tak jadi calon, ugut keluar parti? Asyraf Wajdi dedah mesej Puad Zarkashi

Sumber: Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved