Anak tak lagi warisi bahasa ibu bapa

13 Sep 2026 • 8:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Anak tak lagi warisi bahasa ibu bapa
Kepelbagaian kaum, budaya dan bahasa menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia yang diwarisi antara generasi. Foto hiasan
Image from: Anak tak lagi warisi bahasa ibu bapa

PETALING JAYA – Bahasa warisan tidak hilang dalam sehari, sebaliknya mula terhakis apabila semakin jarang digunakan dalam perbualan harian di rumah dan tidak lagi diwariskan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya.

Keadaan itu menjadi cabaran kepada pelbagai komuniti apabila sebahagian generasi muda semakin selesa menggunakan bahasa Melayu, Inggeris atau Mandarin berbanding bahasa warisan keluarga masing-masing.

Profesor Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Stefanie Shamila Pillai berkata, rumah menjadi ruang penting memastikan sesuatu bahasa terus hidup, terutama bagi bahasa warisan yang tidak diajar secara formal.

Berdasarkan penyelidikan Ethnologue, terdapat lebih 130 bahasa di Malaysia merangkumi variasi bahasa Melayu mengikut wilayah, bahasa peribumi, dialek Cina, Tamil dan Inggeris.

Kira-kira 80 peratus daripadanya merupakan bahasa peribumi dan lebih separuh kelompok berkenaan berdepan ancaman kehilangan apabila semakin kurang dituturkan.

Antaranya Che Wong, Kensiu dan Mah Meri, selain bahasa kontak seperti Portugis Melaka atau Papiah Kristang, Melayu Baba dan Melayu Chitty serta dialek Cina tertentu termasuk Hokkien Kelantan.

“Jika bahasa warisan di rumah digantikan dengan variasi bahasa Melayu lain, Inggeris atau Mandarin, perubahan itu akan diwariskan kepada generasi seterusnya,” ujar Stefanie.

Beliau memberi contoh bahasa Inggeris yang menggantikan Papiah Kristang sekurang-kurangnya tiga generasi lalu dalam banyak keluarga Portugis-Eurasia yang tinggal jauh dari Melaka.

Sementara itu, pensyarah dan ahli linguistik Akademi Pengajian Melayu UM, Profesor Dr Salinah Ja’afar berkata, sebahagian anak muda Melayu yang melanjutkan pengajian di bandar semakin kurang menggunakan dialek negeri kerana malu atau dipengaruhi perubahan zaman.

**media[3645594]**

Bagaimanapun, katanya, ramai pempengaruh kini tampil dengan bangga menggunakan dialek masing-masing di media sosial, sekali gus mendorong orang lain melakukan perkara sama.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Cina UM, Dr Yeoh Yin Yin pula berkata, trend penggunaan yang semakin berkurangan turut berlaku terhadap dialek Cina.

“Dalam banyak keluarga, datuk dan nenek mungkin bertutur Hokkien, Kantonis, Hakka, Teochew atau Foochow, tetapi ibu bapa semakin banyak menggunakan Mandarin dengan anak-anak mereka.

“Akibatnya, ramai golongan muda boleh memahami dialek tetapi kurang yakin untuk menuturkannya,” katanya.

Dua juta rakyat India, sembilan subetnik

Masyarakat India berjumlah kira-kira dua juta orang atau 6.5 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini terdiri daripada sembilan subetnik dengan asal-usul, bahasa, agama, sejarah migrasi dan tradisi budaya berbeza.

Ketua Jabatan Pengajian India Universiti Malaya (UM), Dr Ravindaran Maraya berkata, masyarakat India di Malaysia bukan kelompok homogen seperti yang kadangkala digambarkan.

Menurutnya, interaksi selama beberapa generasi dengan masyarakat Melayu, Cina, peribumi dan komuniti lain turut membentuk amalan budaya dengan ciri tersendiri sebagai masyarakat India Malaysia.

“Perayaan, makanan, muzik, amalan keagamaan dan bahasa mungkin mempunyai persamaan dengan tradisi di India atau Sri Lanka, tetapi pada masa sama berkembang dengan ciri unik Malaysia,” katanya.

Ravindaran berkata, masyarakat India Malaysia merupakan sebahagian daripada diaspora India yang secara umum merujuk kepada mereka yang berasal dari India tetapi menetap di luar negara itu bersama keturunan masing-masing.

“Kita lazimnya mengenal pasti komuniti ini sebagai Tamil, Telugu, Malayalam, Punjabi/Hindi serta Jaffna/Singgalam dari Sri Lanka,” ujarnya.

Beliau menegaskan identiti masyarakat India tidak seharusnya secara automatik disamakan dengan identiti Tamil atau Hindu.

“Masyarakat Tamil merupakan kelompok terbesar dalam kalangan India Malaysia, tetapi terdapat banyak komuniti lain yang mempunyai bahasa dan sejarah berbeza,” katanya.

Ilmu Orang Asli berisiko ‘hilang’

Pengetahuan tradisional masyarakat Orang Asli yang diwarisi turun-temurun menerusi bahasa, perubatan, muzik, kemahiran memburu dan adat turut berdepan risiko semakin hilang apabila cara hidup generasi muda berubah.

Tok Batin Kampung Orang Asli Parit Gong, Jelebu, Negeri Sembilan, Ayof Ekal berkata, keadaan itu sudah dapat dilihat dalam beberapa amalan masyarakat Temuan seperti rawatan menggunakan herba, pembuatan perangkap, memburu menggunakan sumpit serta penyediaan racun ‘ipoh’.

Alat muzik tradisional seperti teabong, gea ngong dan keranting juga kini semakin jarang dimainkan.

Menurut Ayof, sebahagian perubahan tidak dapat dielakkan akibat proses pemodenan termasuk amalan tradisional ‘bayar bidan’, iaitu keluarga memberikan bayaran kepada bidan selepas kelahiran.

“Sekarang sudah tidak ada lagi kerana kebanyakan ibu bersalin di hospital, jadi mereka tidak perlu ‘bayar bidan’,” katanya. – The Star

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved