PUTRAJAYA - [KEMAS KINI] Seorang anak kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin iaitu Asnida akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur pada Selasa.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan ringkas mengesahkan perkara itu.
"Dimaklumkan, SPRM telah mendapat izin mendakwa terhadap seorang pengarah syarikat (Asnida) pada jam 9 pagi di Mahkamah Sesyen 8 Kuala Lumpur esok," katanya pada Isnin.
Sementara itu, peguam kepada Asnida, Yu Ying Ying memaklumkan anak guamnya akan dituduh di bawah Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Difahamkan, pertuduhan itu berkaitan dengan kegagalan mematuhi notis perisytiharan aset yang dikeluarkan oleh SPRM.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan Asnida hadir ke di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan kira-kira jam 9.50 pagi pada Isnin.
Asnida hadir menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV).
**media[3483686]**
Turut kelihatan dua peguam dipercayai mewakili Asnida.
27 Februari lalu, SPRM memaklumkan sedang mengesan empat anak tokoh politik terbabit iaitu Asnida, Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin serta Muhammed Amin Zainuddin bagi tujuan siasatan.
SPRM juga menjelaskan Notis Kesan Individu yang dikeluarkan pihaknya terhadap empat individu itu bukan satu bentuk hukuman atau senarai dikehendaki.
Sebaliknya kata SPRM, ia merupakan mekanisme prosedural bagi mengesan dan memastikan kehadiran individu untuk membantu siasatan.
SPRM sebelum ini melaksanakan Op Godfather mengikut Seksyen 23 dan Seksyen 36 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.


