Lelaki lemas bot terbalik ketika memancing

6 Apr 2026 • 8:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Muhammad Zulkifli (gambar kecil) ditemukan lemas selepas bot yang dinaiki terbalik ketika sedang memancing di Sungai Kubang Rotan.

ALOR SETAR – Seorang lelaki ditemukan maut selepas dipercayai lemas ketika memancing di Sungai Kubang Rotan, Kuala Kedah di sini pada petang Isnin.

Mangsa, Muhammad Zulkifli Ahmad Tarmizi, 24, dikatakan keluar dari rumah kira-kira jam 11 pagi untuk memancing ikan toman bersama sepupunya di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian melalui panggilan kecemasan pada jam 4.46 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai sebelum bot yang dinaiki hilang kawalan dan terbalik.

“Berdasarkan keterangan saksi, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 4.15 petang ketika mangsa sedang memancing.

“Mangsa kemudiannya didapati lemas sebelum usaha mencari dan menyelamat dijalankan oleh pihak bomba,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelas beliau, mangsa berjaya ditemukan oleh pasukan bomba kira-kira jam 5.19 petang di kawasan sungai berkenaan.

Menurutnya, pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan kematian mangsa pada jam 5.40 petang.

“Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya.

Syed Basri berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk tindakan lanjut dan proses bedah siasat.