Ancaman Bom: Kakitangan & Pelawat MOTAC Diarah Kosongkan Bangunan

5 Jun 2024 • 5:26 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Sejak belakangan ini, sering kali berlaku ancaman atau ugutan yang membabitkan bahan letupan seperti bom.

Lazimnya, ancaman ini bertujuan untuk mengugut dan menakutkan seseorang namun ada juga yang benar-benar memaksudkannya.

Antara lokasi yang sering menjadi sasaran menerima ancaman bom seperti sekolah dan tempat tertentu seperti yang berlaku baharu-baharu ini Pusat Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Terima Ancaman Bom Dalam Bentuk Bungkusan

Terbaharu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) hari ini (5 Jun) digemparkan dengan ancaman bom di tingkat 14 bangunan berkenaan.

Ekoran daripada ancaman itu, kakitangan dan pelawat telah diarahkan untuk mengosongkan bangunan pejabat berkenaan yang terletak di Presint 5, Putrajaya sekitar jam 3.40 petang tadi.

Bungkusan Dihantar Melalui Khidmat Penghantaran

Memetik Astro Awani, ancaman bom berkenaan mula timbul setelah satu bungkusan dihantar menggunakan perkhidmatan penghantaran ke bangunan itu.

Insiden itu turut dikongsi oleh Penolong Kanan Naib Presiden, Kandungan Berjenama, Astro AWANI, Zaiful Mohd Ariffin yang kebetulan berada di lokasi kejadian bagi menghadiri satu mesyuarat.

“Kakitangan kementerian telah melihat bungkusan berkenaan dan ia dilihat seperti bom. Ketika ini kita masih belum tahu mengenai bungkusan tersebut.

“Tetapi sebagai langkah keselamatan, kakitangan telah diarahkan untuk mengosongkan bangunan tersebut,” katanya.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Unit Pemusnah Bom telah berada di lokasi kejadian.

Difahamkan, tingkat 14 bangunan itu merupakan pejabat sementara Menteri Pelancongan, Seni & Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Walau bagaimanapun, tiada maklumat terkini dan pengesahan daripada pihak berkuasa berhubung insiden terbabit.

Source: