Ancaman bom palsu di KLIA: Suspek ditahan, diserahkan kepada pihak polis - MAHB

LocalPolitics
3 Dec 2025 • 11:44 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ancaman bom palsu di KLIA: Suspek ditahan, diserahkan kepada pihak polis - MAHB
image is not available
liza03/12/2025 - 11:44 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Dis – Seorang individu yang mencetuskan ancaman bom palsu terhadap penerbangan domestik di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah ditahan dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

 

Insiden itu dilaporkan berlaku pada pukul 5.32 petang 2 Disember 2025 sebelum penerbangan berlepas.

 

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan memaklumkan sebaik sahaja menerima laporan tersebut, Pasukan Keselamatan Penerbangan segera mengaktifkan protokol kawalan keselamatan kawasan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan.

 

“Semua penumpang berada dalam keadaan selamat sepanjang proses tersebut dilaksanakan.

 

“Penerbangan itu kemudiannya berlepas pada pukul 7.19 malam dengan baki penumpang yang ada,” kata MAHB dalam kenyataan tersebut.

 

Pasukan Keselamatan Penerbangan, bersama PDRM dan unit pemusnah bom, telah menjalankan penilaian terperinci di lokasi kejadian. 

 

Pihak berkuasa mengisytiharkan operasi selesai (stand down) pada pukul 8.58 malam, mengesahkan bahawa insiden tersebut adalah ancaman palsu dan keadaan selamat.

 

Operasi lapangan terbang KLIA diteruskan tanpa sebarang gangguan.

 

MAHB menegaskan bahawa membuat ancaman palsu adalah satu kesalahan serius di bawah undang-undang Malaysia dan akan dikenakan tindakan tegas.

 

“Kejadian ini diharap akan menjadi peringatan kepada semua pengguna lapangan terbang bahawa tiada toleransi untuk sebarang tindakan yang menggugat keselamatan awam.

 

“Pihak berkuasa juga menasihatkan penumpang dan orang ramai untuk sentiasa mematuhi prosedur keselamatan di lapangan terbang dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan,” katanya.

 

Tindakan pantas pasukan keselamatan dan kerjasama dengan PDRM membantu memastikan keselamatan penumpang dan kelancaran operasi lapangan terbang terpelihara.

 

Kes disiasat mengikut undang-undang yang berkaitan, dan individu yang terlibat bakal berdepan tindakan undang-undang. - DagangNews.com

Terkini standard