Android Auto Kini Menggunakan Keseluruhan Skrin Kereta

TechnologyCars
13 May 2026 • 10:54 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Android Auto akan menerima ciri yang akhirnya membenarkan keseluruhan skrin infohibur kenderaan digunakan sepenuhnya. Ciri skrin penuh ini diberikan kerana kereta-kereta di pasaran dilengkapi skrin dalam pelbagai saiz serta bentuk.

Mini Cooper misalnya mempunyai skrin infohibur bulat sementara Mercedes pula dengan skrin trapezoid. Ciri baharu ini direka khusus untuk kenderaan yang memang menyokong sepenuhnya Android Auto.

Image from: Android Auto Kini Menggunakan Keseluruhan Skrin Kereta

Selain skrin penuh, kemas kini Android Auto akhirnya membenarkan video YouTube ditonton pada skrin penuh, dengan resolusi FHD dan kadar bingkai 60FPS. Apabila kenderaan bergerak, video akan secara automatik berubah ke mod audio secara automatik dan tidak lagi terhenti seperti sebelum ini.

Bagi peminat audio spatial Dolby Atmos, kedua-dua audio ini mula disokong pada kenderaan keluaran BMW, Genesis, Mahindra, Mercedes-Benz, Renault, Škoda, Tata dan Volvo. Aplikasi Spotify dan YouTube Music turut menerima antaramuka khusus Android Auto bagi memudahkan ia digunakan dalam kereta.

Image from: Android Auto Kini Menggunakan Keseluruhan Skrin Kereta

Sokongan widget ditambah baik dengan widget boleh diletakkan di mana-mana sahaja untuk akses pantas pada skrin Android Auto. Semakin banyak kereta juga mula menerima sokongan Gemini menggantikan Google Assistant sejak beberapa minggu yang lalu.

Setakat ini terdapat lebih daripada 250 juta kenderaan menyokong Android Auto. Sementara itu lebih 100 model daripada 16 pengeluar kini menggunakan Android Auto secara terbina pada sistem kenderaan.