Android Kini Dibangunkan Secara Persendirian Oleh Google

TechnologyDigital
27 Mar 2025 • 8:58 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pembangunan sistem operasi Android anda mengalami perubahan besar bermula minggu depan selepas Google mengumumkan ia akan dilakukan secara persendirian. Android masih lagi sistem operasi sumber terbuka tetapi kesemua pembangunan sistem operasi kini akan dilakukan secara persendirian oleh Google bagi memperkemaskan aliran sekaligus mempercepatkan proses sedia ada.

image is not available

Sebelum ini Google membangunkan Android secara persendirian dan juga menerusi Android Open Source Project (AOSP). Pembangun lain akan memberikan saranan perubahan pada ciri dan sistem menerusi AOSP. Tetapi apa yang berlaku ialah Google juga melakukan perubahan menerusi pembangunan dalaman mereka.

Akibatnya sebelum versi akhir Android boleh dilancarkan, sebarang isu pada kedua-dua versi perlu ditampal oleh Google menyebabkan penggunaan sumber masa tambahan yang boleh dielakkan. Kadang kala versi Google dan AOSP menggunakan API yang berbeza mewujudkan konflik.

Dengan perubahan ini, Google akan membangunkan Android secara peribadi dengan kemas kini kod sumber AOSP untuk pembangun akan diterbitkan pada kekerapan yang lebih rendah.

Sebagai ringkasan perubahan ini hanya akan memberikan kesan kepada pembangun dengan impaknya tidak akan dirasai oleh pengguna biasa yang hanya menggunakan Android versi akhir pada peranti milik mereka.