
KUALA LUMPUR 17 Dis – GDB Holdings Berhad mengumumkan pelantikan Andy Lai Wee Young sebagai Pengarah Eksekutif dan Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan berkuat kuasa 16 Disember 2025.
Dalam satu kenyataan, GDB berkata pelantikan itu selari dengan perancangan strategik syarikat untuk mempercepatkan pertumbuhan, khususnya melalui peluasan perniagaan ke Malaysia timur.
Menurut GDB, Andy Lai, 32, merupakan graduan Universiti Swinburne dalam bidang Perniagaan Antarabangsa dan Kewangan serta memiliki lebih sedekad pengalaman merangkumi sektor kewangan, kewangan korporat, pasaran modal serta ekonomi sebenar dalam pembangunan hartanah dan pembinaan.
“Gabungan kepakaran kewangan dan pendedahan operasi secara langsung menjadikan beliau aset penting kepada kumpulan,” kata GDB.
Syarikat itu berkata, sepanjang kerjayanya, Lai telah berjaya melaksanakan, menstruktur serta menasihati pelbagai transaksi korporat dan projek bernilai melebihi RM5 bilion.
Menurut kenyataan itu lagi, portfolio pengalaman beliau merangkumi pembinaan bangunan bertingkat tinggi, konsesi infrastruktur, pembangunan hartanah berskala besar serta pengumpulan dana rentas sempadan.
GDB turut menjelaskan pelantikan Lai berkait rapat dengan strategi pengembangan ke Malaysia timur.
Sebagai anak jati Sarawak, beliau dilihat berada pada kedudukan strategik untuk menyokong kemasukan kumpulan ke rantau tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, syarikat itu berkata Lai juga telah muncul sebagai pelabur strategik apabila memperoleh 13% pegangan ekuiti dalam GDB daripada pemegang saham utama, hanya beberapa hari sebelum pelantikannya berkuat kuasa.
Beliau secara langsung memegang sebanyak 134,062,500 saham dalam syarikat.
Sementara itu, GDB berkata penstrukturan semula lembaga turut menyaksikan Datuk Cheah Ham Cheia beralih daripada jawatan Pengarah Urusan Kumpulan kepada Penasihat Kumpulan, selain terus berkhidmat sebagai pengarah alternatif.
Menurut GDB, barisan kepimpinan baharu yang turut merangkumi Pengarah Eksekutif Kumpulan Alexander Lo Tzone Leong akan memainkan peranan utama dalam melaksanakan strategi pertumbuhan syarikat, termasuk memperluaskan kehadiran di Malaysia timur, sambil memastikan operasi di Malaysia Barat kekal konsisten dan mampan.
“Penstrukturan ini mencerminkan komitmen lembaga pengarah untuk meletakkan GDB pada kedudukan yang lebih kukuh bagi merebut peluang pertumbuhan jangka panjang,” kata syarikat itu. - DagangNews.com


