
KUALA NERANG – Jenazah Laskar Kanan Maritim (Teknikal), Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, yang maut dalam operasi pendatang asing tanpa izin (PATI) di Kuala Sungai Padang, dekat Kuala Perlis selamat dikebumikan malam ini.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tengku Sarafudin Badlishah, di sini dengan istiadat pengebumian dan kawalan jenazah oleh anggota Maritim Malaysia (APMM) kira-kira pukul 9.45 malam ini.
Sebaik selesai pengebumian, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah menyerahkan Jalur Gemilang kepada bapa arwah bagi mengenang jasa bakti dan sumbangan Allahyarham kepada agensi serta negara.
Kedua-dua anak arwah iaitu Rayyan Shakimi, 14, dan Muhammad Rizqy Shazarin, 11, dilihat hadir pada pengebumian tersebut.
Kira-kira 500 orang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Mohd Roshaimi.
Turut hadir Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa serta anggota agensi berkenaan.

Terdahulu, jenazah disembahyangkan di masjid tersebut dengan diimamkan oleh Mohd Izhar Zakaria sebaik tiba dari Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar setelah selesai proses bedah siasat.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan kejadian yang meragut nyawa seorang anggota APMM dan mencederakan tiga lagi anggota berlaku ketika mereka sedang mengejar bot membawa PATI.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, bot dinaiki lima anggota dikatakan terlanggar binaan konkrit di perairan Kuala Sungai Padang, dekat Kuala Perlis.
Seorang anggota iaitu Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan dari Unit Perisikan Ibu Pejabat Maritim Kedah dan Perlis disahkan meninggal dunia selepas ditemukan dengan kecederaan serius dipercayai pada bahagian kepala. – KOSMO! ONLINE
The post Anggota APMM maut dalam operasi PATI selamat dikebumikan appeared first on Kosmo Online.






