Anggota FRU wira negara, sentiasa di barisan hadapan demi keselamatan – Fahmi

LocalPolitics
13 May 2025 • 1:25 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan anggota FRU wira negara dan menyifatkan pemergian sembilan anggota Pasukan Simpanan Polis Persekutuan dalam kemalangan jalan raya di Jalan Chikus, Sungai Lampan pagi tadi sebagai satu kehilangan besar.

Menurutnya, para anggota keselamatan itu merupakan wira negara yang sentiasa bersedia berada di barisan hadapan demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.

image is not available

“Saya mewakili seluruh warga Kementerian Komunikasi menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden tragis melibatkan Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus, Sungai Lampan, Teluk Intan, pagi tadi.
“Pemergian sembilan anggota FRU dalam nahas tersebut merupakan satu kehilangan besar, bukan sahaja kepada keluarga dan rakan seperjuangan, tetapi juga kepada negara yang amat menghargai jasa dan pengorbanan anggota keselamatan kita,” katanya lagi.

image is not available

Anggota FRU wira negara

Beliau turut memohon orang ramai untuk mendoakan agar roh semua mangsa yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman, selain mendoakan kesembuhan buat anggota yang cedera.

“Saya mendoakan agar roh mangsa yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. Semoga keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat-saat sukar ini.
“Sama-sama juga kita berdoa agar kesemua anggota yang cedera dalam kejadian ini diberikan kesembuhan segera dan dipermudahkan segala urusan rawatan mereka,” katanya.

image is not available

Dalam kenyataan sama, Fahmi menegaskan bahawa Kementerian Komunikasi akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dan media dalam menyalurkan maklumat yang sahih.

“Kementerian Komunikasi bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dan media dalam menyampaikan maklumat sahih, serta menyekat penyebaran berita palsu berhubung insiden ini demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa dan menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.

Siasatan berhubung kejadian masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan. Jenazah mangsa kini sedang diuruskan untuk proses pengecaman dan akan diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian.

Sumber: FB Fahmi Fadzil