Anggota kapal induk AS cuba terjun ke laut, tertekan tempoh kerahan panjang

WorldHealth & Fitness
14 Aug 2026 • 10:09 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Anggota kapal induk AS cuba terjun ke laut, tertekan tempoh kerahan panjang

WASHINGTON: Keluarga anggota tentera dan ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) meluahkan kebimbangan terhadap krisis kesihatan mental yang semakin serius di atas kapal induk USS Abraham Lincoln ketika kira-kira 5,000 pelaut dan pegawai marin menjalani kerahan berpanjangan di laut susulan perang dengan Iran.

Dua akhbar khusus ketenteraan, Navy Times dan Stars and Stripes melaporkan terdapat beberapa cubaan kru terjun ke laut ketika keadaan buruk dan tekanan mental di atas kapal itu semakin memuncak.

Seorang isteri kru, Annabelle Loma memberitahu akhbar tersebut, suaminya pernah cuba terjun ke laut selepas tempoh tugasan terus dilanjutkan.

“Dia takut. Dia fikir dia akan menerima pelepasan secara tidak terhormat dan hanya kerana dia sudah keletihan, kerjaya 13 tahunnya musnah begitu sahaja,” katanya.

Akhbar itu turut memetik seorang lagi isteri pelaut yang berkata, suaminya terlibat dalam insiden berasingan apabila dia menghalang seorang rakan kru daripada terjun ke laut dengan memegang dan menariknya kembali ke atas dek.

CNN turut melaporkan seorang pelaut dari kapal induk USS Abraham Lincoln terjun ke laut awal bulan ini, namun berjaya diselamatkan dalam tempoh sejam.

Pegawai lain berkata, pelaut itu terjun ke laut dengan memakai jaket keselamatan dan tidak mengalami kecederaan, sambil menambah Tentera Laut AS menganggap kejadian itu sebagai episod berkaitan kesihatan mental.

Kru kapal itu kini memasuki bulan kesembilan di laut sejak meninggalkan pangkalannya di San Diego pada November tahun lalu.

Mereka berada selama 250 hari berturut-turut selepas USS Abraham Lincoln dialihkan ke Asia Barat bagi menyokong operasi AS dalam perang dengan Iran tanpa menjejakkan kaki ke daratan, tempoh terpanjang bagi sebuah kapal induk pada zaman moden.

Keluarga dan waris turut meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan anggota marin dan kru ketika menghadiri pertemuan dengan pemimpin tentera laut di San Diego pada Khamis lalu. Kira-kira 200 ahli keluarga dilaporkan hadir dalam pertemuan berkenaan.

Kelmarin, Senator Demokrat dari Connecticut, Richard Blumenthal dan anggota Jawatankuasa Perkhidmatan Tentera Senat AS menghantar surat kepada Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth dan pemangku Setiausaha Tentera Laut, Hung Cao bagi menuntut penjelasan rasmi mengenai keadaan di atas kapal induk berkenaan.

“Laporan meluas mengenai kekurangan bekalan asas, pencemaran air, masalah sistem paip, kemerosotan kesihatan mental dan isu keselamatan dek berlaku di atas kapal itu,” katanya dalam surat tersebut.

Beliau turut membangkitkan isu gangguan dalam sistem penghantaran, menyebabkan banyak bungkusan bekalan daripada keluarga yang dihantar ke kapal hilang dalam perjalanan selama berbulan-bulan.

Ketika diminta mengulas, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth mendakwa laporan mengenai kemerosotan keadaan dan masalah kesihatan mental di atas kapal induk USS Abraham Lincoln memberikan gambaran yang salah mengenai situasi sebenar.

“Kami memastikan setiap kapal, setiap kru dan setiap kapten mendapat segala bantuan yang mampu kami sediakan pada setiap masa,” kata Hegseth kepada pemberita ketika lawatan ke Panama.

Beliau turut berkata, terdapat sesetengah kerahan lebih panjang berbanding yang lain, malah memuji para kru serta anggota marin yang terus menjalankan tugas dalam keadaan laut bergelora, serba kekurangan dan jarang berpeluang singgah di pelabuhan.

The post Anggota kapal induk AS cuba terjun ke laut, tertekan tempoh kerahan panjang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved