
MUSKAT: Tumpahan minyak daripada sebuah kapal tangki yang terkandas di luar pantai Oman kini meliputi kawasan seluas 1,300 kilometer persegi, menurut pertubuhan alam sekitar Greenpeace.
Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan bencana ekologi besar sedang berlaku di Laut Arab.
Tumpahan itu merebak ke tanah besar Oman, kira-kira 200 kilometer dari lokasi kapal tangki berkenaan, menurut pihak berkuasa Oman.
Penganalisis Greenpeace, Hanen Keskes berkata, analisis imej satelit menunjukkan tompokan minyak yang berpecah-pecah, menandakan tumpahan itu kini tersebar di beberapa kawasan dan bukan dalam satu kelompok yang berterusan.
Kerajaan mengarahkan orang ramai supaya mengelak daripada menangkap ikan di kawasan terjejas serta melaporkan sebarang bau luar biasa dan kewujudan minyak. Kerajaan turut berkata, sampel makanan laut di pasaran akan diuji bagi mengesan pencemaran.
Menurut syarikat keselamatan maritim Britain, Ambrey, usaha menyelamat antarabangsa kini sedang dijalankan melibatkan kapal dan pesawat yang membawa lebih 100 tan peralatan. Bagaimanapun, operasi itu berdepan cabaran berikutan musim monsun tahunan yang dikenali sebagai Khareef.
Kapal tangki Caroline Bezengi membawa kira-kira 800,000 tong minyak ketika dilaporkan diserang. Kapal yang dikenakan sekatan itu dipercayai sebahagian daripada armada bayangan kapal tangki minyak yang digunakan Russia.
Beberapa pemerhati keselamatan melaporkan berlaku letupan di atas kapal. Kebocoran minyak dari tangki simpanan kapal mula dikesan pada minggu pertama Julai.
Tumpahan minyak yang semakin merebak dikhuatiri menjejaskan terumbu karang, pantai tempat penyu terancam bertelur, kawasan pembiakan burung laut yang berhijrah serta menjadi habitat kepada paus bongkok Laut Arab, spesies yang amat jarang ditemui.
Pada Rabu, pihak berkuasa Oman berkata, tumpahan minyak itu telah sampai ke tanah besar dan terus bergerak ke arah timur laut, Pulau Masirah.
Perkembangan itu memberi kesan berpanjangan kepada masyarakat pesisir pantai dan turut membawa pelbagai risiko kesihatan khususnya kepada komuniti yang bergantung kepada aktiviti perikanan.-AGENSI
The post Tumpahan minyak di luar pantai Oman makin merebak, cetus bencana ekologi appeared first on Utusan Malaysia.





