KLANG – Seorang anggota polis cedera dirempuh sebuah motosikal ketika sedang menjalankan tugas Sekatan Jalan Raya (SJR) di Persiaran Raja Muda Musa di sini pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan berkenaan dilaporkan dirempuh motosikal yang dinaiki seorang lelaki bersama pembonceng wanita.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, siasatan awal mendapati motosikal terbabit dipercayai cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis sebelum merempuh anggota berkenaan.
"Impak rempuhan menyebabkan anggota polis itu tercampak dan mengalami kecederaan di bahagian kepala serta muka.
"Penunggang dan pembonceng motosikal hanya mengalami kecederaan ringan dalam kejadian tersebut," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook IPD Klang Selatan pada Selasa.
Katanya, kedua-dua suspek ditahan dan permohonan reman diperoleh sehingga Rabu bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya.
"Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas penjawat awam," katanya.
Menurutnya, semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan memberi kerjasama kepada pihak polis ketika operasi SJR dijalankan.
"Kerjasama orang ramai amat penting bagi memastikan keselamatan semua pihak di jalan raya sentiasa terjamin," ujarnya.






