
KLANG, 30 OGOS: Wakil Polis Diraja Malaysia, Superintenden Yusuf Ramji menjuarai pertandingan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (PDPK) peringkat kebangsaan ke-38 malam tadi.
Mendeklamasikan sajak bertajuk Tawarikh Terindah karya Raja Rajeswari Seetha Raman, beliau membawa pulang wang tunai RM5,000 selin hadiah iringan dan sijil penghargaan.
Tempat kedua dimenangi peserta Sabah, Adriansyah Wayang manakala Adzharye Johari dari Sarawak ketiga. Masing-masing menerima wang tunai RM3,000 dan RM2,000 selain hadiah iringan serta sijil penghargaan.
Hadiah bagi pertandingan melibatkan 14 lagi peserta lain itu disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Amirudin ketika berucap berkata kemajuan negara turut bergantung kepada program kebudayaan yang menjadi akar dan sendi kepada setiap kejayaan sesebuah pentadbiran.
“Ini dapat mendidik masyarakat bagaimana untuk berdepan budaya dan cita rasa baharu. Hari ini di setiap masa, anak-anak kita terdedah dengan budaya luar.
“Bukan sahaja gaya percakapan tetapi juga gaya hidup. Jadi kalau kita tidak ada jati diri, tidak faham budaya Melayu, kita akan tertinggal,” katanya.
Terdahulu, dalam program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Amirudin turut menunjuk bakat membaca puisi bertajuk Pesan Pahlawan di Semantan karya Ami Masra.





The post Anggota polis juara puisi merdeka peringkat kebangsaan, bawa pulang RM5,000 appeared first on Selangorkini.

![[VIDEO] Kemuncak Sayembara deklamasi puisi artistik bulan depan](https://cdn.newswav.com/img/topic/entertainment.jpeg)
