
IPOH - Seorang anggota polis maut manakala empat lagi cedera parah selepas van yang membawa 11 anggota polis dari Perak ke Melaka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 352 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), arah selatan, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.35 pagi itu, van berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi lebuh raya.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendapati kenderaan itu dalam perjalanan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh menuju ke Melaka ketika kejadian berlaku.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berpunca daripada tayar belakang van yang pecah sehingga menyebabkan pemandu gagal mengawal kenderaan.
“Akibat perlanggaran itu, beberapa penumpang tercampak keluar dari van berkenaan. Seorang penumpang berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Empat lagi penumpang yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Sementara itu, enam lagi anggota yang mengalami kecederaan ringan dihantar ke Hospital Tapah bagi mendapatkan rawatan lanjut. - Getaran, 17 November 2026






