
JAKARTA – Polis bersama kastam negara Indonesia menggagalkan cubaan menyeludup masuk 56 kilogram (kg) dadah jenis syabu dari Malaysia dalam operasi di Perairan Gosong Sijenggi, Daerah Serdang Bedagai, wilayah Sumatera Utara, lapor agensi berita ANTARA.
Ketua Polis Daerah Sumatera Utara, Sonny Irawan berkata, operasi yang dijalankan kelmarin merupakan susulan siasatan kes dadah terdahulu di kawasan Percut Sei Tuan.
Menurutnya, pasukan bersepadu melibatkan Unit Siasatan Jenayah Narkotik, Polis Daerah Besar Medan dan kastam berjaya menahan tiga suspek warga tempatan berusia 35 hingga 46 tahun yang disyaki terlibat dalam penyeludupan dadah melalui laluan laut.
“Siasatan lanjut mendapati terdapat cubaan menyeludup syabu dalam skala besar dari Malaysia menuju ke Sumatera Utara dengan menggunakan bot nelayan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau menjelaskan, ketika rondaan dijalankan di perairan sempadan Indonesia-Malaysia, anggota penguat kuasa mengesan sebuah bot nelayan bergerak dalam keadaan mencurigakan sebaik menyedari kehadiran bot peronda kastam.
Ketiga-tiga suspek bertindak memecut laju bot tersebut bagi meloloskan diri meskipun tembakan amaran telah dilepaskan.
“Pihak berkuasa akhirnya terpaksa memberhentikan bot berkenaan dengan cara merempuhnya.
Sementara itu, pegawai yang mengetuai operasi berkenaan, AKBP Rafli Yusuf Nugraha berkata, siasatan mendapati ketiga-tiga suspek bukan kali pertama melakukan kegiatan tersebut.
Menurut beliau, suspek dipercayai mengambil bekalan syabu secara terus dari Selangor, Malaysia menggunakan bot nelayan selepas terpedaya dengan tawaran upah yang lumayan.
“Siasatan lanjut sedang giat dijalankan bagi membongkar rangkaian sindiket penyeludupan dadah rentas negara yang terlibat dalam kes ini,” katanya. – AGENSI
The post Polis rempuh bot nelayan, rampas 56 kilogram syabu dari Malaysia appeared first on Kosmo Online.





