SEPANG - Seorang anggota polis disahkan meninggal dunia selepas menjalani aktiviti berkawad di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini pada Rabu.
Anggota terbabit, Koperal Khairil Idzhar Rodzi, 36, yang bertugas di Balai Polis Dato Abu Bakar Baginda, dilaporkan rebah semasa menjalani aktiviti kawad.
Allahyarham disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menjalankan pemeriksaan ke atas dirinya di IPD Sepang.
Berdasarkan maklumat awal, punca kematian masih belum dapat dipastikan.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, dan isteri yang juga Pengerusi PERKEP Selangor, menzahirkan ucapan takziah ke atas pemergian Allahyarham Khairil menerusi akaun Facebook rasmi Polis Selangor.
"Allahyarham dilaporkan telah berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 17 tahun dan pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada Polis Kontinjen Selangor," katanya.
