
TEMERLOH – Seorang mekanik maut selepas dirempuh sebuah lori ketika membantu menukar tayar treler yang pancit di Kilometer 119.5 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah barat, dekat sini pada Isnin.
Kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu mengorbankan lelaki berusia 48 tahun dari Taman Bukit Mentakab, Mentakab yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, siasatan awal mendapati sebuah treler jenis CAMC berhenti di lorong kecemasan selepas mengalami tayar pancit di bahagian belakang kiri.
Menurut beliau, mangsa dipercayai sedang melakukan pemeriksaan sebelum menukar tayar rosak berkenaan ketika insiden berlaku.
“Ketika kejadian, mangsa sedang memeriksa tayar di bahagian tengah di kanan lori untuk membuat pertukaran dengan tayar belakang yang pancit.
“Lori jenis Hino dipandu lelaki berusia 36 tahun dari arah sama bergesel dengan treler sebelum melanggar mangsa yang berada di atas jalan dan sedang memeriksa tayar sebelum terbabas ke kiri,” katanya.
Pemandu Lori Ditahan Bantu Siasatan
Beliau berkata, kedua-dua pemandu lori berusia 35 dan 36 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, pemandu lori Hino terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan negatif dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan,” katanya. – The Malaysian Update
The post Mekanik Maut Dirempuh Lori Ketika Bantu Tukar Tayar Treler Di LPT1 appeared first on The Malaysian Update.






