Anggota polis trafik dipenjara empat bulan terima suapan

LocalPolitics
16 Jul 2026 • 2:49 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Anggota polis trafik dipenjara empat bulan terima suapan

KUANTAN, 15 JULAI: Seorang anggota polis trafik berpangkat koperal dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan menerima suapan sebanyak RM1,000.

Hakim Sazlina Safie membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes dihadapi Ahmad Amin Khairul Komar, 42, pada akhir kes pembelaan.

“Setelah meneliti keseluruhan keterangan pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah memutuskan di akhir kes pembelaan ini, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes terhadap OKT (orang kena tuduh) melampaui keraguan munasabah.

“Pihak pembelaan telah berjaya membuktikan kesemua elemen di bawah kesalahan bagi empat pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan OKT gagal mematahkan tanggapan di bawah Seksyen 50 (3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Ahmad Amin didakwa atas empat pertuduhan menerima RM1,000 melalui pindahan wang secara dalam talian ke dalam akaun isterinya daripada seorang individu antara 3 Okt 2017 dan 2 Mac 2018.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan semua hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ezuain Farhana Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Melissa Sukri.

Terdahulu, Melissa memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi namun dibantah pihak pendakwaan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan Melissa untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman hingga rayuan diputuskan, selain mengarahkan tertuduh dikenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

-- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved