
Usaha mencari sedang dilakukan
Anggota Rejimen Hilang Ketika Bertugas Dalam Op Ukur Sempadan Di Limbang. Dipetik dari laporan portal berita tempatan, seorang anggota tentera Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) yang berpangkalan di Kem Kidurong, Bintulu, Sarawak disahkan hilang ketika bertugas dalam Op Ukur di sempadan Limbang-Brunei pada Selasa.
Dalam kenyataan Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM) semalam, anggota yang dikenali sebagai Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim disedari hilang sekitar jam 12 tengah hari.

Bertugas sebagai pengiring keselamatan kepada pasukan JUPEM
Ketika kejadian, anggota berkenaan bertugas sebagai pengiring keselamatan kepada pasukan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang melaksanakan penandaan dan pengukuran sempadan Malaysia-Brunei Darussalam di Ulu Tutong (E500) ke Bebuloh (E600), Limbang mulai 11 Jun hingga 2 September 2024.
Dikatakan bahawa, kehilangan mangsa dikesan pada Selasa lebih kurang jam 12 tengah hari, ketika ketua kumpulan mendapati anggota tiada di posisi belakang kumpulan.
Dalam kenyataan itu lagi, kejadian berlaku pada kedudukan dijarak dua kilometer di atas permatang sempadan Malaysia dan Brunei dari tanda sempadan E500 menghala ke arah E600.

Usaha mencari dan mengesan anggota dijalankan segera
Tambahnya lagi, usaha mencari dan mengesan anggota dijalankan segera oleh kumpulan yang terdiri daripada dua anggota TDM dan lima anggota JUPEM, namun gagal menemuinya.
Usaha pencarian juga telah dipergiatkan oleh TDM mulai Rabu di kawasan tersebut dengan melibatkan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta agensi awam lain yang dikoordinasikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bomba.
“Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) juga mengatur gerak aset mereka dalam membantu usaha pencarian bersama TDM,” katanya.
TDM berharap anggota berkenaan dapat ditemui dalam keadaan selamat dan memohon kerjasama masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu misi pencarian serta menjaga perasaan waris anggota yang terlibat.

