
Seorang anggota trafik patah tangan kiri dan kaki kanan selepas dirempuh kereta yang dikejar polis di Ipoh pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, kejadian bermula kira-kira jam 9.45 pagi ketika anggota trafik menjalankan sekatan jalan raya di Jalan Silibin.
Menurutnya, pemandu kereta berkenaan tidak mematuhi arahan berhenti dan terus memecut. Anggota yang bertugas sempat mengelak daripada dirempuh, sebelum tiga anggota trafik mengejar kenderaan itu.
“Apabila tiba di kawasan lampu isyarat berhampiran bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, pemandu memasuki lorong kiri sebelum membuat pusingan U secara tiba-tiba dan merempuh seorang anggota trafik,” katanya dalam kenyataan.
Baca juga:
Bella kongsi keadaan Syed Saddiq selepas terima berita pemergian Tun Dr Siti Hasmah
Lelaki maut akibat rabies di Kedah, kes pertama dilaporkan sejak 1998
KTMB mohon maaf, 25 penumpang terlepas tren di Stesen Anak Bukit
Muhammad Najib berkata, anggota yang cedera dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk rawatan lanjut. Pemandu kereta, seorang lelaki berusia 29 tahun, ditahan selepas kenderaannya terbabas.
Semakan awal mendapati suspek tidak memiliki lesen memandu dan cukai jalan keretanya telah tamat tempoh. Ujian saringan air kencingnya turut didapati positif methamphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Muhammad Najib turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan anggota polis yang bertugas dan mengelakkan tindakan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya.
The post Anggota trafik patah tangan, kaki dirempuh pemandu lari sekatan jalan raya appeared first on The Reporter.






