Anggota TUDM mula mengundi awal

LocalPolitics
28 Jul 2026 • 11:03 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Anggota TUDM mula mengundi awal

SEREMBAN: Seramai 1,114 anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta pasangan akan mengundi di dua saluran di Pangkalan Udara Sendayan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, di sini.

Daripada jumlah itu, 806 daripadanya adalah pengundi tentera darat serta melibatkan 308 pasangan yang mula mengundi seawal pukul 8 pagi.

Proses pengundian awal itu melibatkan 16 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memilih calon wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

DUN Rantau menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Dr Azizul Hakim Mahdi dan penyandangnya selama tiga penggal, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.

Hari ini, seramai 22,339 anggota keselamatan dan pasangan akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada PRN Negeri Sembilan ke-16.

Jumlah itu membabitkan 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis dan pasangan.

Proses pengundian akan berlangsung di 38 pusat mengundi awal di seluruh negeri yang dibuka serentak pada pukul 8 pagi, manakala waktu penutupan ditetapkan secara berperingkat mengikut lokasi.

Antara lokasi pengundian awal ialah Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) Port Dickson, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai.

Pengundian awal bagi anggota keselamatan dan pasangan yang layak diadakan empat hari sebelum hari pengundian pada 1 Ogos.-UTUSAN

The post Anggota TUDM mula mengundi awal appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved