‘Angka ini sebenarnya diputarkan, statistik sepatutnya tidak menipu’, kata PM berkait hutang negara

LocalPolitics
2 Dec 2025 • 12:37 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan jumlah hutang negara tidak sepatutnya mengelirukan rakyat, hingga timbul salah faham berikutan wujud pihak tidak bertanggungjawab sengaja memutarbelitkan statistik.

Beliau berkata, maksud sebenar hutang statutory perlu diberikan penjelasan kerana ia penting supaya rakyat memahami konteks angka yang dibentangkan.

"Angka ini sebenarnya diputarkan (diputar belit)… statistik sepatutnya tidak menipu. Tetapi ada keadaan di mana statistik boleh dimanipulasi untuk diperdaya.

"Jadi oleh itu saya nak tegaskan di sini, apa maksud hutang statutori ? Itu ada dalam undang-undang kita. Hutang statutori (adalah) jumlah keseluruhan pinjaman kita yang tidak melibatkan hutang luar negara yang (jumlahnya) kecil dan juga treasury bills (instrumen hutang jangka pendek).

"Ada angka penurunan kerana yang penting apa? Kita boleh turunkan segera tetapi bebannya kepada rakyat. Itu satu keputusan yang harus kita ambil.

"Sebab itu, daripada RM100 bilion hutang baharu, kita turunkan kepada RM70 bilion. Kita boleh (saja) turunkan kepada RM20 bilion tahun depan, tetapi kerajaan negeri janganlah minta peruntukan," kata Anwar pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang mahukan penjelasan susulan ada pihak yang mengaku sebagai pakar ekonomi dan kewangan menggunakan fakta tidak tepat mengenai paras hutang kerajaan melepasi had hutang statutori.

Anwar ketika mengulas berkata kejayaan menurunkan kadar hutang adalah bukti keupayaan kerajaan menguruskan kewangan negara sekali gus membolehkan kerajaan menyalurkan peruntukan untuk melaksanakan projek asas untuk dimanfaat rakyat membabitkan projek tebatan banjir, prasarana asas, pendidikan, kesihatan dan sebagainya.

"Jadi saya tidak fikir hal ini harus mengelirukan kerana bila ada unjuran defisit kita kurang. Ini bermakna tanggungan hutan itu juga akan berkurangan.

"Umpamanya kalau jumlah tuntutan hutang sekarang itu juga berkurangan kerana kita membayar ikut obligasi pada masa ditetapkan. Unjuran kita pada 2027 dan 2028, ia boleh plateau (mendatar).

"Kalau keadaan ini dapat diteruskan, konsisten oleh kerajaan, maka tekanan hutang kita akan menurun mulai akhir 2028 dan 2029. Itu unjuran kita. Sebab itu, langkah-langkah penurunan defisit itu mesti disegerakan," katanya.

Jelas Anwar sehingga September 2025, jumlah hutang persekutuan Malaysia adalah sebanyak RM1.3 trilion, iaitu 64% daripada KDNK, masih di bawah had statutori sebanyak 65%.

Pinjaman luar Malaysia pula berjumlah RM22.4 bilion, juga kekal jauh di bawah paras RM35 bilion yang ditetapkan oleh Perbendaharaan, tambah Anwar. - 2 Disember, 2025

The post ‘Angka ini sebenarnya diputarkan, statistik sepatutnya tidak menipu’, kata PM berkait hutang negara appeared first on Scoop.