Banjir di Hatyai: Penyelamat terpaksa guna lori kontena selamatkan rakyat Malaysia

27 Nov 2025 • 2:20 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Ada rakyat Malaysia yang diselamatkan daripada banjir di Selatan Thailand terpaksa dibawa menggunakan lori kontena ke sempadan Bukit Kayu Hitam di Kedah, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, ia berikutan kawasan yang terjejas banjir di negara jiran itu masih tidak boleh dilalui kenderaan ringan, bas atau lori.

“Ada sekumpulan pensyarah dan juga penuntut UUM (Universiti Utara Malaysia) yang terkandas di Wangburapa Hotel. Ini di kawasan Old Hat Yai City yang teruk kerana kawasan tersebut berhampiran dengan sungai dan arus amat deras. Tidak ada mana-mana kenderaan boleh masuk termasuk bot ringan," katanya.

Mohamad berkata, banyak kontena yang digunakan bagi tujuan itu kerana jalan dari Sadao ke Bukit Kayu Hitam terjejas teruk akibat banjir.

"Jangan kalau ada yang mengadu nanti, minta maaf nak beritahu, kita gunakan kontena (untuk pindahkan mangsa banjir di Hatyai) kerana lori dan bas tidak boleh lalu.

"Kita gunakan kontena, duduk ramai-ramai macam pemerdagangan manusialah agaknya, dibawa sampai ke Bukit Kayu Hitam," katanya dalam nada berseloroh pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang ingin mengetahui usaha segera kerajaan membantu rakyat Malaysia yang terkandas di selatan Thailand susulan bencana serta langkah pencegahan bagi memastikan rakyat Malaysia lain tidak menghadapi situasi sama memandangkan rantau itu juga memasuki musim tengkujuh.

Mohamad berkata operasi pemindahan itu dapat digerakkan berikutan penurunan paras air selepas hujan lebat reda pada petang semalam, sekali gus membolehkan pasukan Malaysia dan Thailand mengakses lebih banyak lokasi yang sebelum ini terputus hubungan.

"Kita hantar beberapa bot bantuan daripada pihak berkuasa Thailand untuk selamatkan rakyat di tiga hotel, termasuk pelajar dan pensyarah universiti yang terperangkap.

"(Sebelum ini) mereka tidak boleh diselamatkan menaiki bot kerana arus deras dan hotel ini berhampiran sungai," katanya.

Pada masa sama, Mohamad turut menasihatkan rakyat Malaysia yang berhasrat untuk ke Selatan Thailand supaya menangguhkan hasrat itu kerana kemungkinan risiko terperangkap dalam banjir.

Dalam perkembangan sama, lebih 700 rakyat Malaysia berjaya dipindahkan dari Hatyai ke Bukit Kayu Hitam, Kedah susulan banjir besar yang melanda selatan Thailand, termasuk mereka yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS), menurut laporan Konsulat Jeneral Malaysia di negara itu semalam.

“Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla akan terus melaksanakan langkah-langkah terbaik bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di sana terjamin,” katanya. - 27 November, 2025

The post Banjir di Hatyai: Penyelamat terpaksa guna lori kontena selamatkan rakyat Malaysia appeared first on Scoop.