Angka Kematian Banjir Nepal Cecah 1,050, Hampir 4,000 Masih Hilang

WorldEnvironment
2 Sep 2026 • 8:40 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Angka Kematian Banjir Nepal Cecah 1,050, Hampir 4,000 Masih Hilang

Angka kematian akibat banjir dahsyat yang melanda Nepal meningkat kepada 1,050 orang, manakala kira-kira 4,000 lagi masih hilang, hampir seminggu selepas bencana itu melanda kawasan bandar dan lembah di negara berkenaan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini dipergiatkan dengan penggunaan jentera berat, helikopter dan jengkaut bagi mengesan mangsa yang masih hilang, termasuk ratusan pekerja yang dipercayai terperangkap dalam terowong projek hidroelektrik.

Menurut pihak berkuasa pengurusan bencana Nepal pada Selasa, sekurang-kurangnya 639 individu masih terkandas di beberapa stesen hidroelektrik yang terjejas teruk dan kini menjadi tumpuan utama operasi SAR.

Daripada kira-kira 4,000 individu yang masih hilang itu, 583 merupakan warga asing.

Bencana berkenaan berlaku pada 26 Ogos selepas keruntuhan glasier mencetuskan aliran deras ais, batu dan lumpur yang melanda kawasan sempadan Nepal-China.

Pasukan penyelamat khusus dari China, India dan Nepal turut membina jambatan sementara bagi menghubungkan kawasan terpencil, selain menggunakan jengkaut untuk menggali runtuhan di beberapa projek hidroelektrik.

Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah berkata, lebih 11,000 individu telah diselamatkan, manakala bekalan elektrik dan talian komunikasi mula dipulihkan di beberapa kawasan.

Dalam pada itu, anggaran awal Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) mendapati bencana berkenaan meninggalkan kira-kira 2.2 juta tan runtuhan, termasuk bahagian bangunan, batu dan mendapan.

UNDP berkata jumlah runtuhan itu menggambarkan skala kemusnahan yang berlaku serta cabaran besar dihadapi penduduk ketika membersihkan rumah, jalan dan kawasan awam sebelum usaha pembinaan semula dapat dimulakan.

Ratusan pekerja dipercayai terperangkap

Operasi SAR turut memberi tumpuan kepada beberapa projek hidroelektrik yang mempunyai jumlah mangsa terperangkap paling ramai.

Shah berkata, seramai 279 pekerja projek hidroelektrik berjaya diselamatkan, dengan pasukan dari Nepal, India dan China bekerjasama dalam operasi berkenaan.

Bagaimanapun, keadaan terowong yang runtuh serta limpahan air menyukarkan usaha pasukan penyelamat untuk memasuki beberapa lokasi.

Seorang pemandu gunung yang membantu operasi menyelamat di terowong, Asish Gurung berkata, pemerhatian awal di loji kuasa hidro Trishuli menunjukkan pasukan manusia tidak mampu memasuki terowong berkenaan tanpa bantuan mesin berat.

Menurutnya, jentolak dan jengkaut diperlukan bagi membantu operasi, manakala kira-kira 500 individu dipercayai masih terperangkap di dalamnya.

China, Korea Selatan hantar bantuan

Sementara itu, pasukan penyelamat China bekerja sepanjang malam bagi membuka semula laluan ke sempadan Nepal yang terletak di kawasan gaung pergunungan curam, dengan tebing tidak stabil dan aliran sungai deras.

China turut memaklumkan akan menghantar pakar ujian DNA ke kawasan terjejas selain kumpulan kedua bekalan bantuan yang merangkumi dron dan peralatan penulenan air.

Korea Selatan pula dijangka menghantar pasukan bantuan kecemasan seramai 44 anggota bagi menyokong operasi SAR di Rasuwa selepas sembilan rakyatnya yang bekerja di sebuah projek hidroelektrik dilaporkan masih hilang.

Nepal sebelum ini menolak penyertaan asing dalam operasi SAR secara umum, namun menyatakan negara itu memerlukan kepakaran khusus serta sokongan teknologi seperti mesin pengesan mangsa hidup, peti sejuk bersaiz besar dan jambatan pasang siap.

Shah berkata, bantuan bernilai lebih AS$42 juta telah disalurkan ke Nepal selepas bencana berkenaan, dengan jumlah itu dijangka terus meningkat.

Nepal kaitkan bencana dengan perubahan iklim

Shah turut menyifatkan bencana berkenaan sebagai petunjuk terhadap peningkatan risiko yang dihadapi kawasan Himalaya akibat pemanasan global.

Katanya, sudah tiba masanya Nepal membawa isu bencana berkaitan perubahan iklim yang dialami negara itu ke peringkat antarabangsa.

Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kanni Wignaraja pula berkata Nepal, yang bergantung kepada glasier sebagai sumber pendapatan dan bekalan air, kini berdepan keputusan yang amat sukar.

Baca juga:

Penyiar negara China sebelum ini melaporkan banjir berkenaan berpunca daripada ketidakstabilan glasier akibat kesan jangka panjang pemanasan global.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved