
GEORGE TOWN – “Kami tak tenang memikirkan nasib anak di Nepal.”
Itu luahan ibu bapa kepada Muhammad Muhaimin Azhad Noor Hadi, 27, pendaki Malaysia yang dipercayai masih hilang ketika melakukan penilaian di Nepal, minggu lalu.
Bapa Muhaimin, Noor Hadi Mohd. Hassan, 62, berkata, dia dan isteri, Zaleha Ariffin, 56, sememangnya berasa terkilan memandangkan sehingga ke hari ini masih belum menerima sebarang perkembangan mengenai keadaan anak bongsu mereka.
Menurutnya, pihak berkaitan termasuk Wisma Putra dan agensi yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di negara berkenaan sepatutnya memberikan sebarang perkembangan kepada pihak keluarga.
“Kami harap mereka beri apa-apa kemas kini dari sana, sekurang-kurangnya buat siaran langsung (live) operasi pencarian atau maklumkan perkembangan SAR.
“Kami cuma nak tahu perkembangan anak sahaja. Sampai sekarang kami tidak mendapat apa-apa khabar daripada agensi berkenaan,” katanya pemberita di sini, hari ini.
Kata Noor Hadi, dia yang kini berkerusi roda semakin dihantui kebimbangan memikirkan keadaan anak yang masih belum diketahui nasibnya.
“Saya tidak tahu sudah berapa lama keadaan mereka begitu. Ada makan atau tidak, bagaimana mereka hendak bertahan dan macam-macam perkara bermain dalam fikiran,” ujarnya.
Terdahulu, kediaman pasangan itu di Taman Tun Sardon, Gelugor di sini turut dikunjungi, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, Ahli Dewan Undangan Negeri Seri delima, Connie Tan Hooi Peng dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Zaidi Omar.
Muhammad Muhaimin bersama Muhammad Adib Haikal Awang Mansor, 27, dan Muhammad Zaki Othman, 29 dilaporkan gagal dihubungi ketika melakukan aktiviti pendakian di Langtang Valley, Nepal.
Ketiga-tiga mereka dipercayai berada di kawasan berkenaan ketika banjir kilat dan tanah runtuh melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos lalu. -KOSMO! ONLINE
The post Terkilan masih tiada khabar berita Muhaimin di Nepal’ appeared first on Kosmo Digital.




