
BEIJING: Angka korban banjir kilat di barat laut China meningkat kepada 25 orang, manakala 23 lagi cedera, lapor media kerajaan pada Ahad, seminggu selepas bencana itu berlaku.
Banjir berkenaan melanda kawasan Shuangshimen, destinasi pelancongan yang popular dalam kalangan pengunjung yang berkhemah secara harian pada 26 Julai lalu. Media kerajaan sebelum ini melaporkan 10 kematian dan 23 mangsa cedera.
Peningkatan angka korban itu diumumkan ketika Suruhanjaya Pencegahan Bencana Kebangsaan China memaklumkan pihaknya akan menyelia siasatan berhubung kejadian tersebut, menurut agensi berita Xinhua.
Shuangshimen yang terletak di kawasan pergunungan selatan wilayah Gansu terkenal dengan gerbang batu semula jadi, padang rumput tanah tinggi dan aliran sungai gunung.
Rakaman video kejadian menunjukkan arus deras mengalir melalui sebuah lembah yang menempatkan beberapa khemah serta kenderaan.
China berdepan cuaca ekstrem yang teruk pada musim panas tahun ini dengan banyak kawasan dilanda banjir.
Pada Julai, ribut di wilayah Hubei meragut sekurang-kurangnya 11 nyawa, manakala enam orang maut dan 130,000 penduduk dipindahkan di wilayah Guangxi di selatan negara itu selepas beberapa empangan pecah akibat hujan lebat.
Pada bulan sama, kejadian tanah runtuh di Daerah Dangchang, selatan wilayah Gansu turut mengorbankan 21 orang.-AFP
The post Angka korban banjir kilat di China meningkat appeared first on Utusan Malaysia.






