Angkat Alat Muzik Tradisional, Razak A’ai Khaleesi & Mortal Rhyme Berhabis Demi 'Ala Joget Raya' - "Kami Mahu Kembalikan Nostalgia Lama"

28 Mar 2025 • 1:26 AM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Penyanyi dan komposer berbakat, Razak A’ai, meluahkan rasa teruja apabila diberikan kepercayaan sebagai tunjang utama dalam penghasilan lagu raya terbaru terbitan Todak Fusion, berjudul 'Ala Joget Raya'.

Mahukan sentuhan nostalgia lagu raya klasik, Razak, bersama Khaleesi dan Mortal Rhyme, menyuntik elemen muzik tradisional Melayu ke dalam irama moden bagi menghasilkan karya yang segar namun tetap berakar pada budaya tempatan.



Menurut Razak, dia bukan sekadar mahu mencipta sebuah lagu raya yang menghiburkan, tetapi dalam masa yang sama berusaha memelihara dan mengangkat warisan muzik tradisional agar terus dihargai.



“Ketika menghasilkan lagu ini, saya terfikir bagaimana nak gabungkan dua elemen iaitu tradisional dan moden. Saya memilih untuk meletakkan perkataan ‘Ala’ sebagai elemen utama dalam lagu ini serta menyuntik sedikit elemen rap.



“Matlamat saya adalah untuk mengekalkan keunikan muzik tradisional seperti irama joget dan membawanya ke dalam nuansa moden agar generasi baharu tidak melupakannya," katanya kepada Gempak.



Razak berkongsi mengenai proses penghasilan lagu ini ketika majlis pelancaran muzik video Ala Joget Raya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

image is not available


image is not available

Gabungan Muzik Moden & Tradisional

Penerbit Todak Fusion, Ikmal Fareeq, turut menyokong visi Razak dalam membawa kembali elemen tradisional ke dalam muzik raya.



Menurut Ikmal, industri muzik tempatan kini semakin kurang memberi tumpuan kepada muzik berunsurkan etnik, dan inisiatif ini diharap dapat menyemarakkan kembali apresiasi terhadap seni muzik tradisional.



“Kami sudah lama ingin menerbitkan lagu raya yang menampilkan elemen budaya Melayu. Razak adalah individu yang tepat kerana beliau mempunyai kepakaran dalam muzik etnik.



“Kami mahu mengekalkan keaslian lagu raya lama tetapi dalam masa yang sama menyuntik sedikit elemen moden untuk kekal relevan di zaman sekarang.



"Jadi untuk berhabis banyak untuk lagu ini bagi saya satu pelaburan yang berbaloi. Kosnya tak murah tambah lagi melibatkan penggiat seni dan pemuzik tradisional," jelasnya.



Ikmal turut mendedahkan bahawa Razak memainkan peranan penting dalam penghasilan lagu ini, bukan sahaja dari segi melodi dan lirik, tetapi juga dalam pemilihan alat muzik serta konsep keseluruhan muzik video.



“Razak banyak membantu dalam membentuk melodi yang mampu menghidupkan kembali ingatan terhadap budaya kita. Dalam muzik video pula, kami turut menampilkan tarian klasik Melayu untuk menggambarkan suasana ‘joget raya’ yang meriah dan penuh warna-warni," katanya lagi.



Sekadar info, 'Ala Joget Raya' menampilkan gabungan alat muzik tradisional seperti akordion, rebana dan biola, menjadikan karya ini sebuah persembahan raya yang penuh nostalgia namun tetap segar dan moden.