Angkat politik khidmat, tolak sentimen perkauman

LocalPolitics
4 Jul 2026 • 10:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Angkat politik khidmat, tolak sentimen perkauman
Mohamad Shafwan (tengah) bergambar bersama penyokong di hadapan Pusat Operasi Utama PH N50 Bukit Permai sempena hari penamaan calon PRN Johor pada Sabtu.
Image from: Angkat politik khidmat, tolak sentimen perkauman
MOHAMAD SYAFWAN
Image from: Angkat politik khidmat, tolak sentimen perkauman
Image from: Angkat politik khidmat, tolak sentimen perkauman
NOR ZULAILA
Image from: Angkat politik khidmat, tolak sentimen perkauman
SHAZWAN

 

**media[3570563]**

BATU PAHAT - Barisan calon Melayu DAP yang mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yakin rekod perkhidmatan dan keupayaan mereka akan menjadi sandaran pengundi, selain mahu membuktikan parti itu mengamalkan politik yang lebih inklusif.

Calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Mohamad Shafwan Ani berkata, peluang diberikan kepadanya untuk bertanding di kerusi penting itu adalah manifestasi keyakinan parti terhadap kemampuan seseorang pemimpin tanpa mengira latar belakang kaum.

Menurut anak muda berusia 33 tahun itu, pengalaman hampir sembilan tahun berkhidmat di Pejabat Parlimen Kulai sejak 2017 dalam menguruskan pelbagai isu rakyat menjadi asas kepada kepercayaan yang diberikan untuk bertanding pada PRN kali ini.

Katanya, sepanjang tempoh itu beliau turun padang membantu menyelesaikan pelbagai isu membabitkan kebajikan, pendidikan, infrastruktur, banjir dan bantuan kepada masyarakat tanpa mengira kaum atau agama.

**media[3570566]**

"Bagi saya, pencalonan ini membuktikan bahawa DAP menilai seseorang berdasarkan keupayaan, integriti, rekod perkhidmatan dan kesungguhan untuk bekerja, bukannya berdasarkan kaum semata-mata.

"Kepercayaan yang diberikan hari ini bukan datang kerana retorik, tetapi kerana rekod kerja yang telah dibina selama ini," katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Pakatan Harapan (PH) Parit Raja di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, Malaysia memerlukan lebih ramai pemimpin Melayu yang progresif, berfikiran terbuka dan bersedia berkhidmat kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang.

Mengulas dakwaan pihak lawan bahawa DAP merupakan parti yang hanya memperjuangkan satu kaum, Mohamad Shafwan mengajak pengundi membuat penilaian berdasarkan pengalaman sebenar dan bukannya persepsi yang dibentuk oleh pihak tertentu.

Katanya, sepanjang sembilan tahun berkhidmat, beliau membantu masyarakat Melayu, Cina, India serta kaum lain dan mendapati masalah rakyat tidak pernah memilih kaum.

**media[3570565]**

"Kalau sebuah parti benar-benar hanya memperjuangkan satu kaum, saya sendiri tidak mungkin diberikan peluang menjadi calon. Hakikatnya, DAP memberi ruang kepada semua yang mahu bekerja untuk rakyat," katanya.

Beliau berkata, rakyat hari ini lebih mengutamakan wakil rakyat yang mudah ditemui, sentiasa turun padang dan mampu menyelesaikan masalah berbanding melihat latar belakang kaum seseorang calon.

Mengenai perancangannya di Bukit Permai, beliau berkata pusat khidmat akan dibuka kepada semua lapisan masyarakat dan setiap program akan dilaksanakan secara inklusif.

Katanya, program membabitkan belia, wanita, warga emas, pendidikan, ekonomi, kesihatan serta kebajikan perlu melibatkan semua kaum kerana kepelbagaian masyarakat di Bukit Permai merupakan satu kekuatan.

Beliau turut menegaskan politik sepatutnya menjadi medium menyelesaikan masalah rakyat, bukannya memecahbelahkan masyarakat.

Nor Zulaila manfaat pengalaman 12 tahun bantu rakyat

**media[3570562]**

Sementara itu, calon PH bagi DUN Tiram, Nor Zulaila Abd Ghani berkata, pemilihan calon dalam DAP dibuat berdasarkan kemampuan, pengalaman serta rekod perkhidmatan dan bukannya faktor bangsa.

Beliau yang mempunyai pengalaman lebih 12 tahun dalam bidang politik dan pentadbiran berkata, sepanjang tempoh itu beliau pernah berkhidmat sebagai pembantu, pegawai khas, ahli majlis serta di peringkat kementerian sebelum diberikan kepercayaan bertanding.

Menurutnya, pengalaman berkhidmat di pelbagai peringkat membolehkan beliau memahami cara menangani aduan rakyat serta menyelaras bantuan bersama agensi kerajaan.

"Apa yang rakyat mahukan ialah wakil rakyat yang sentiasa ada, sentiasa mendengar dan sentiasa membantu. Asalkan seseorang itu mempunyai kesungguhan untuk belajar dan berkhidmat, dia mampu memahami keperluan kawasan yang diwakilinya," katanya.

Nor Zulaila berkata, sebagai calon Melayu dalam DAP, beliau mahu menggunakan peluang itu untuk menyampaikan mesej bahawa parti berkenaan menghormati Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta hak orang Melayu.

Beliau berkata, rakyat tidak seharusnya terpengaruh dengan naratif yang cuba menakut-nakutkan masyarakat mengenai DAP kerana hakikatnya parti itu membuka ruang kepada semua yang mahu berkhidmat.

Mengulas isu kos sara hidup, beliau berkata rakyat kini lebih memikirkan soal peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan, kesesakan lalu lintas dan kemudahan asas berbanding polemik perkauman.

Katanya, pengalaman menguruskan program di Kementerian Kewangan termasuk inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan peluasan Kedai MyKasih memberi pendedahan luas mengenai pelaksanaan bantuan kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan perlu memastikan manfaat pelaburan asing turut dirasai rakyat melalui peluang pekerjaan, sokongan kepada peniaga kecil dan peluasan rangkaian perniagaan tempatan.

Nor Zulaila berkata, jika dipilih, beliau akan memberi tumpuan kepada peningkatan kemudahan infrastruktur di kawasan kampung serta memastikan setiap aduan disalurkan kepada agensi berkaitan dengan lebih berkesan.

"Rakyat bangun setiap pagi bukan memikirkan soal kaum, tetapi bagaimana hendak meneruskan kehidupan dengan kos sara hidup yang meningkat dan peluang pekerjaan yang lebih baik," katanya.

Shazwan fokus mudahkan akses bantuan kerajaan, perkasa TVET

**media[3570564]**

Sementara itu, calon PH-DAP bagi DUN Parit Raja, Shazwan Zdainal Abidin berkata, pencalonan calon Melayu dalam DAP membuktikan parti itu meraikan kepelbagaian dan memilih pemimpin berdasarkan merit.

Beliau berkata, DAP mempunyai rekod mengetengahkan pemimpin Melayu yang dihormati serta memberikan ruang kepada mereka memegang tanggungjawab penting dalam parti dan kerajaan.

Menurutnya, fokus utama yang akan dibawa ialah politik khidmat dengan membantu memudah cara akses kepada bantuan kerajaan, memperkasa peniaga kecil, memperluaskan peluang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi serta memastikan pusat khidmat rakyat berfungsi secara lebih efektif.

Katanya, keutamaan setiap wakil rakyat ialah memastikan kebajikan rakyat sentiasa didahulukan dan menjadi jambatan antara masyarakat dengan kerajaan supaya setiap masalah dapat diselesaikan dengan cepat dan berkesan.

"Keutamaan saya ialah politik khidmat. Wakil rakyat perlu menjadi jambatan yang memudah cara penyelesaian masalah rakyat dengan cepat dan berkesan, selain memastikan semua lapisan masyarakat mendapat layanan yang adil," katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved