KULAI - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Mohamad Shafwan Ani, mendakwa bahan kempen miliknya ditutup menggunakan banting calon pihak lawan dalam satu kejadian di Jalan Lebuhraya Putra, Bandar Putra, di sini, pada malam Khamis.
Katanya, kejadian itu disedari ketika beliau dalam perjalanan pulang selepas menghadiri ceramah di Ulu Choh.
"Saya ingin menegaskan bahawa politik yang matang tidak seharusnya dicemari dengan taktik lapuk tua seperti ini.
"Kita sepatutnya bersaing melalui idea, khidmat kepada rakyat dan tawaran dasar, bukannya dengan merosakkan atau mengganggu bahan kempen pihak lain," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Menurut Mohamad Shafwan, laporan rasmi kepada Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) telah pun dibuat dan saya menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Katanya beliau menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak berkuasa, namun tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya insiden sama berulang.
"Kempen pilihan raya mesti berlangsung secara bersih, adil dan menghormati proses demokrasi.
"Saya dan pasukan akan terus berkempen secara berhemah, mematuhi undang-undang serta fokus membawa mesej kepada rakyat. Biarlah rakyat menilai berdasarkan kerja, integriti dan keikhlasan, bukannya melalui permainan politik kotor," katanya.






