Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya sifatkan tindakan MCMC sekat portal berita bertentangan dengan prinsip kebebasan bersuara

1 Sep 2023 • 12:23 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya sifatkan tindakan MCMC sekat portal berita bertentangan dengan prinsip kebebasan bersuara

zulfadli

01/09/2023 - 12:23

KUALA LUMPUR 1 Sept - Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya (UM) mendakwa tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menyekat kandungan portal berita jelas bertentangan dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin kebebasan bersuara dan kebebasan media walaupun ia tidak mutlak.

Angkatan Mahasiswa UM berkata, MCMC bukan sahaja menyekat malah memanggil pengamal media untuk memberi penjelasan mengenai kandungan di portal berita masing-masing yang seolah-olah seperti satu taktik intimidasi.

Katanya, ini kerana kandungan yang disasar oleh MCMC dituju kepada kandungan yang bersifat kritikal terhadap kerajaan.

"Kerajaan hari ini tidak sepatutnya mencontohi sikap kerajaan-kerajaan sebelum ini yang memandang pengamal media yang kritikal seperti musuh dan ancaman buat negara, lebih-lebih lagi apabila kerajaan hari ini sangat menekankan kebebasan bersuara dan media sewaktu belum memegang tampuk pemerintahan.

"Di dalam negara demokrasi, bukan mencelup jari dan memangkah sahaja yang penting tetapi akses bebas dan adil kepada media juga sangat mustahak dalam menyampaikan maklumat dan pendapat kepada rakyat agar mereka dapat memilih pemimpin yang dirasakan terbaik mengikut maklumat yang dapat diakses," katanya dalam kenyataan media di sini.

Tambah kenyataan tersebut, Angkatan Mahasiswa menyatakan solidariti bersama pengamal media yang berhadapan dengan intimidasi dan sekatan oleh pemerintah.

"Kebebasan bersuara bukan sahaja menjadi isu nasional tetapi turut menjadi isu yang kritikal di dalam kampus dan dekat dengan hati mahasiswa yang memanfaatkan sepenuhnya hak yang diberi di dalam
Perlembagaan demi mengangkat martabat mahasiswa walaupun berhadapan dengan tekanan dari pihak atasan," katanya.

image is not available

Baru-baru ini, satu kenyataan media yang ditandatangani enam wartawan kanan iaitu Tan Sri Johan Jaaffar, Datuk A. Kadir Jasin, Datuk Hussamuddin Yaacob, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Dr. Chamil Wariya, Datuk Yong Soo Heong, Datuk Zakaria Wahab dan Dr G Manimaran menyuarakan kebimbangan mereka selepas MCMC kerap memanggil pengamal media untuk memberikan penjelasan terhadap kandungan di portal berita mereka.

Menurut kenyataan itu, MCMC harus menghentikan tindakan mereka seperti `Big Brother' atau `Abang Besar' ekoran kecenderungan menyekat kandungan kandungan berita di dalam talian. - DagangNews.com