Anifah fokus perkasa pelancongan di Bongawan

LocalTravel
21 Nov 2025 • 6:38 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PAPAR: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Tan Sri Anifah Aman, meletakkan agenda pemerkasaan sektor pelancongan sebagai antara inti pati utama dalam manifestonya.

Beliau yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) berkata langkah itu mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan kepada penduduk, khususnya golongan belia.

Menurutnya, antara destinasi pelancongan yang berpotensi diperkasakan termasuk Pantai Kenangan dan eko-pelancongan river cruise di Kampung Seri Serbang menerusi naik taraf prasarana dan kemudahan sedia ada.

Bagi beliau, Pantai Kenangan ialah sebuah pantai yang indah dan menjadi tumpuan keluarga serta pengunjung luar, dan potensinya lebih jauh daripada sekadar lokasi rekreasi.

Sebaliknya, katanya, dengan pembangunan terancang, lokasi berkenaan boleh menjadi pusat aktiviti ekonomi baharu untuk penduduk setempat.

“Kita komited membangunkan kemudahan gerai pelancongan di Pantai Kenangan bagi membolehkan usahawan kecil, termasuk belia dan wanita, menjana pendapatan melalui makanan, kraftangan, produk desa dan aktiviti pantai.

“Jika kita sediakan kemudahan gerai yang tersusun, bersih dan teratur, kita bukan sahaja menarik lebih ramai pengunjung tetapi turut membuka peluang perniagaan kepada penduduk tempatan.

“Begitu juga eko-pelancongan Seri Serbang yang akan kita perkasakan melalui penambahbaikan jeti, latihan kepada operator pelancongan tempatan dan pembangunan pusat maklumat kecil untuk pelancong,” katanya.

Anifah berkata Bongawan sudah mempunyai produk pelancongan yang hebat, cuma belum dibangunkan secara maksimum, dan apabila kedua-dua lokasi itu diperkasakan, ekonomi tempatan akan berkembang.

“Inilah matlamat saya untuk Bongawan — bukan janji kosong, tetapi perancangan terarah, dan dengan pendekatan holistik di bawah manifesto ini, kita yakin Bongawan mampu bangkit sebagai destinasi eko-pelancongan unggul.

“Pada masa sama, ia dapat membawa manfaat secara langsung kepada rakyat, sekali gus menjadi pusat ekonomi tambahan baharu kerana ekonomi pelancongan mesti dirasai oleh rakyat, bukan hanya syarikat besar,” katanya.