Anifah setuju larangan Dr Akmal masuk ke Sabah

LocalPolitics
6 Apr 2024 • 2:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anifah ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar Invest Sabah Berhad, di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Anifah Aman bersetuju dengan cadangan sekiranya individu yang boleh mencetuskan perpecahan dalam masyarakat dilarang masuk ke Sabah.

Beliau yang juga bekas Menteri Luar menegaskan bahawa tiada tolak ansur kepada individu yang boleh menyebabkan perpecahan dalam negara.

"Mungkin ini cadangan yang baik, sebab apa saja yang boleh menyebabkan perpecahan kaum, kita tidak boleh bertoleransi mengenainya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar Invest Sabah Berhad, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan untuk melarang masuk Ketua UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh ke Sabah susulan kelantangannya bersuara mengenai isu stoking kalimah ALLAH yang dikaitkan dengan sebuah kedai serbaneka di Semenanjung, baru-baru ini.

Dr Akmal yang tiba di Kota Kinabalu bagi menghadiri program bersama Pemuda UMNO Sabah telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk diambil keterangan.

Beliau sebelum itu sepatutnya akan memberi keterangan di IPD Dang Wangi selepas kembali dari Sabah iaitu pada Sabtu.

Ketika ditemui pemberita pada Jumaat, Dr Akmal menafikan bahawa dia dilarang masuk ke Sabah sebaliknya proses di imigresen berjalan dengan baik.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa kehadirannya ke negeri ini tidak mengganggu sesiapa dan menimbulkan sebarang masalah di Sabah.

Untuk rekod, Sabah mempunyai hak istimewa dalam perlembagaan membabitkan akta Imigresen di mana setiap individu yang memasuki negeri ini boleh dikawal selia oleh pihak berkuasa.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28