Aniq Suhair yakin mampu jayakan watak aksi jika diberi peluang

LocalEntertainment
27 Jul 2026 • 12:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Aniq Suhair yakin mampu jayakan watak aksi jika diberi peluang

KUALA LUMPUR: Pelakon, Aniq Suhair, yakin mampu membawakan watak aksi dengan baik sekiranya diberi kepercayaan oleh mana-mana rumah produksi, meskipun sering dikaitkan dengan imej berwajah ‘jambu’.

Aniq atau Muhammad Aniq Suhair Mohd. Salleh, 25, berpendapat kemampuan seseorang pelakon seharusnya dinilai berdasarkan bakat dan kebolehan menghidupkan karakter, bukannya rupa paras semata-mata.

“Susah untuk yakinkan mereka bahawa saya boleh menjayakan karya aksi kerana saya rasa masih ada yang memilih pelakon berdasarkan penampilan dan rupa.

“Sebagai contoh, jika menghasilkan cerita seperti Juvana, mereka akan memilih pelakon yang berwajah gangster atau samseng. Takkan hendak ambil muka-muka ‘jambu’?

“Sedangkan pada saya, sesuatu karakter itu boleh dibentuk. Tidak ada masalah pun. Kalau muka ‘jambu’, kita boleh botakkan kepala dan ubah penampilan mengikut kehendak watak,” katanya.

Aniq berkata demikian ketika ditemui pada sesi ramah mesra drama Ate Kome, I Love You! di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menurut Aniq, industri perfileman tempatan juga boleh mencontohi negara luar yang lebih berani mempertaruhkan pelakon berwajah lembut untuk membawakan watak ganas atau aksi.

“Mungkin di Malaysia masih ramai yang memilih berdasarkan fizikal dan rupa. Sedangkan di luar negara, ramai sahaja pelakon yang berwajah ‘jambu’, tetapi mampu melakonkan watak gangster, polis, perompak dan sebagainya.

“Cuma kita masih belum berani keluar daripada kebiasaan itu, atau mungkin tidak berani mencuba,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Aniq mendedahkan pernah ditolak untuk membintangi sebuah filem hanya kerana penampilannya yang dikatakan terlalu ‘jambu’.

“Saya pernah menghadiri satu uji bakat untuk sebuah filem yang mempunyai dua orang pengarah. Salah seorang memang mahukan saya untuk watak itu, tetapi seorang lagi tidak bersetuju kerana wajah saya ‘jambu’.

“Daripada situ saya fikir memang ada yang masih menilai rupa paras bagi sesuatu karakter. Pada saya, mengapa tidak beri peluang kepada pelakon membuktikan kemampuan mereka ketika uji bakat?

“Mungkin semasa uji bakat, mereka boleh minta kami buktikan sama ada benar-benar mampu membawakan watak tersebut. Kami akan berikan yang terbaik mengikut kemampuan,” katanya. -UTUSAN

The post Aniq Suhair yakin mampu jayakan watak aksi jika diberi peluang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved