KOTA KINABALU - Anjing pengesan antara alternatif lain yang mungkin akan digunakan bagi memperkukuh pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang di negeri ini, khususnya dalam usaha mengesan penyeludupan dadah melalui pengangkutan udara.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, langkah itu akan dilaksanakan sekiranya penggunaan pengimbas (scanner) sedia ada didapati tidak mencukupi, selain memastikan proses saringan dilakukan secara lebih menyeluruh dan berkesan.
Menurutnya, pendekatan bersepadu itu turut melibatkan kerjasama erat bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang kini disifatkan sebagai rakan strategik dalam memperkukuh kawalan sempadan negara.
"Saya amat berbangga kerana sekarang AKPS sudah menjadi 'abang dan adik' dalam melaksanakan tugas. Kerjasama yang ditunjukkan cukup baik dan saya harap ia akan terus diperkukuh.
"Kita mahu lebih ramai agensi bekerjasama seperti ini supaya kawalan keselamatan dapat dipertingkatkan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan penggunaan teknologi pengimbas kekal menjadi kaedah utama dalam pemeriksaan di lapangan terbang, namun alternatif lain seperti anjing pengesan akan digerakkan sekiranya terdapat keperluan di lapangan.
"Kita berbincang dengan AKPS untuk pastikan scanner itu dibuat secara betul dan kalau ia tidak mencukupi, kita gunakan anjing untuk ditempatkan di lapangan terbang.
"Kita tahu ada beberapa aduan daripada pengguna di lapangan terbang terutama umat Islam tetapi kita akan menggunakan cara bagaimana air liur anjing itu tidak terkena pada bagasi," jelasnya.
Beliau berkata, pendekatan itu kini dalam perancangan dan dijangka dapat meningkatkan kecekapan pihak berkuasa dalam mengekang aktiviti penyeludupan dadah yang semakin mencabar melalui laluan udara.
"Kita sudah ada cara dan ia kini dalam perancangan," ujarnya.



