SHAH ALAM - Terminal yang dinaik taraf di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu (KBR) akan beroperasi sepenuhnya mulai 16 Mac ini selepas kerja-kerja pembesarannya selesai dilaksanakan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pembesaran terminal baharu itu meningkatkan kapasiti lapangan terbang berkenaan daripada 1.5 juta kepada empat juta penumpang setahun.
Beliau berkata, jumlah pergerakan penumpang di KBR mencecah 1.7 juta pada 2025, meningkat 16.2 peratus berbanding tahun sebelumnya dan peningkatan kapasiti itu dijangka mampu menampung pertumbuhan trafik penumpang yang semakin meningkat.
“Kemudahan yang ditambah baik merangkumi bangunan terminal yang lebih luas, pengasingan aras pelepasan dan ketibaan bagi melancarkan aliran penumpang, serta susun atur baharu kawasan kerbside dengan lorong khusus untuk bas, teksi dan perkhidmatan e-hailing.
“Penambahbaikan ini dijangka meningkatkan pengalaman perjalanan penumpang serta menyokong kelancaran operasi lapangan terbang, khususnya menjelang musim perayaan yang bakal tiba,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, peningkatan itu turut memperkukuh hubungan udara ke Kelantan selain menyokong pertumbuhan sektor pelancongan, perniagaan dan pembangunan ekonomi negeri.
Menurutnya, ketika ini terdapat lima syarikat penerbangan yang beroperasi di KBR melibatkan enam laluan domestik dan satu laluan antarabangsa ke Singapura.
Beliau menambah, majlis pelancaran rasmi bagi terminal yang diperluaskan itu akan diumumkan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.


