
BACHOK – Anjing yang tiada tag pengenalan vaksinasi atau tidak menerima suntikan vaksin anti rabies selepas April setiap tahun boleh dilupuskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, tindakan tersebut selaras dengan Perintah Pemvaksinan Pencegahan Penyakit Anjing Liar Kelantan 2026 bagi membendung risiko penularan rabies.
Katanya, melalui perintah berkenaan, anjing peliharaan atau liar perlu menerima suntikan vaksin antara Januari hingga April setiap tahun bagi mencegah penularan rabies.
“Setiap anjing yang telah divaksin akan diberi tag logam pengenalan bernombor sebelum dilesenkan dengan PBT. Anjing yang tidak mempunyai tag pengenalan vaksin selepas April boleh diambil tindakan termasuk dilupuskan oleh PBT.
“Dua daripada lima ekor anjing yang ditangkap dalam operasi PBT dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar baru-baru ini sudah dilupus setakat ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Latihan Hands On Prosedur Tetap Operasi (PTO) Program Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut Untuk Mengatasi Jerebu Negeri Kelantan di Kampung Kual Besar, Gunung di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hilmi memberitahu, kedudukan Kelantan yang bersempadan dengan Thailand turut meningkatkan risiko penularan rabies berikutan kemungkinan berlaku pergerakan anjing merentasi sempadan kedua-dua negara.
Katanya, kes kematian akibat rabies yang dilaporkan di Kubang Pasu, Kedah bulan lalu selain satu kes membabitkan seorang kanak-kanak di Kelantan pada awal bulan lalu perlu dijadikan peringatan mengenai bahaya penyakit berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Anjing tiada tag vaksin di Kelantan boleh dilupus appeared first on Kosmo Online.


