
ALOR SETAR – Seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun dari daerah Kubang Pasu yang mempunyai sejarah digigit anjing terbiar pada bulan lalu disahkan meninggal dunia akibat jangkitan rabies, hari ini.
Menurut Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, ia merupakan kes pertama rabies dalam kalangan manusia yang dilaporkan di negeri itu sejak 1998.
Katanya, lelaki terbabit mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan selepas kejadian tersebut, namun tidak menerima profilaksis pascapendedahan atau post-exposure prophylaxis (PEP) rabies.
“Pada 18 September lalu, lelaki itu mula mengalami kelesuan, kelemahan, dan kebas pada anggota atas kanan.
“Seterusnya pada 22 September, gejala berkembang kepada kesukaran menelan, hidrofobia, aerofobia, keresahan dan perubahan tingkah laku, selaras dengan manifestasi klinikal rabies,” katanya di sini hari ini.
Kata kenyataan itu, pesakit mendapatkan semula rawatan pada 23 September, seterusnya dirujuk untuk rawatan lanjut sebelum dimasukkan ke unit rawatan rapi.
“Sampel klinikal telah diambil pada 24 September dan keputusan ujian makmal pada 26 September mengesahkan jangkitan rabies,” ujarnya.
Susulan pengesahan kes itu, JKN Kedah bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah dan pihak berkuasa berkaitan telah melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan.
“Ia termasuk pengesanan kes secara aktif, pendidikan kesihatan, pengukuhan surveilan kes gigitan haiwan, penilaian risiko serta tindakan kawalan terhadap haiwan terbiar di kawasan terlibat,” jelasnya.
Katanya, memandangkan ia merupakan kes rabies dalam kalangan manusia pertama yang dilaporkan di negeri ini sejak 1998, Kementerian Kesihatan bersama JKN Kedah dan agensi berkaitan sedang menjalankan siasatan epidemiologi secara menyeluruh bagi mengenal pasti sumber jangkitan dan laluan pendedahan.
Sementara itu, sebanyak 502 kes gigitan dan cakaran haiwan telah dilaporkan di Kedah sehingga Ogos lalu,
“Daripada jumlah tersebut, 65.3 peratus melibatkan anjing, 23.1 peratus kucing dan 11.6 peratus haiwan lain. Sebanyak 56.2 peratus melibatkan haiwan peliharaan, manakala 43.8 peratus melibatkan haiwan terbiar,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki maut akibat rabies, kes pertama Kedah sejak 1998 appeared first on Kosmo Online.





